Nasional

Raja Muda Perlis dekati rakyat melalui program kayuhan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menutup jumlah program kayuhan berbasikal bersiri bagi menjejaki dan menyantuni asnaf ‘MAIPs Peduli’ dengan angka ’80’ pada sepanjang tahun 2020 yang lalu.

“Istimewa lagi, penglibatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dalam setiap satu siri program tersebut sentiasa dinanti-nantikan rakyat jelata dan mendekatkan lagi institusi Raja dengan rakyat yang amat baginda kasihi”, jelas Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.

Terang beliau, program berkenaan bermatlamatkan untuk mendekati asnaf dan bukan sekadar menunggu asnaf yang datang memohon bantuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor pula ketika ditemui selepas mengiringi Tuanku Raja Muda dalam program MAIPs Peduli siri sulung bagi tahun 2021 pada petang semalam sejauh 10km yang bermula dan berakhir di perkarangan ‘Rumah Warisan di Tapak Stesen Keretapi Lama Arau’ dengan kerjasama Ummul Travel And Tour Sdn Bhd pula merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan dari dahulu hinggalah ke sekarang.

“Sokongan dan dokongan bermula dari Institusi DiRaja Perlis, Kerajaan serta pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan, badan korporat, pihak media, individu khususnya para penyumbang zakat, wakaf dan sumber am melalui MAIPs telah menjayakan inisiatif bersama ke arah kesejahteraan rakyat. Kami bersyukur dan berdoa, teruskanlah menyumbang dan memberikan mandat kepercayaan kepada MAIPs,” tambah beliau.


Terdahulu, keberangkatan Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Puteri Sharifah Farah Adriana untuk majlis pelancaran sebuah lagi lokasi baru pelancongan menarik di bandar DiRaja Arau atas inisiatif Ummul Travel And Tour Sdn Bhd itu disambut oleh Pengarah Urusannya, Rizwan Ahamad Badrudin.

Untuk rekod, program MAIPs Peduli yang diilhamkan dan melibatkan kehadiran oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra pada setiap siri kayuhan yang dilangsungkan ini telah bermula sejak tahun 2013 sehingga kini dan telah memberikan manfaat kepada sekitar 34,780 asnaf dengan jumlah agihan sebanyak RM21.8juta dengan kekerapan sebanyak 644 kali semenjak ianya diperkenalkan.

(Visited 338 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button