NasionalNegeri

Raja Muda Perlis berkenan tinjau bangunan bakal kampus UMAM

RAJA Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau bangunan yang bakal dijadikan kampus Universiti Muhammadiyah Antarabangsa Malaysia (UMAM) di Perlis.

Bangunan Wisma Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di UniCiti Sungai Chuchoh dekat Padang Besar dipilih sebagai kampus UMAM.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Rektor UMAM, Dr. Waluyo Adi Siswanto.

Hadir sama Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Raja Muda juga menerima taklimat selain melihat kerja-kerja pengubahsuaian bangunan Wisma MAIPs ini.

Baginda selaku Yang DiPertua MAIPs juga menitahkan agar semua pihak menggembeleng usaha bagi memastikan proses untuk mempersiapkan Wisma MAIPs sebagai kampus UMAM dapat dipercepatkan.

Titah Baginda, Perlis juga mempunyai banyak persamaan dengan Muhammadiyah Indonesia terutama dalam seruan dan gesaan untuk membebaskan bukan sahaja pemikiran, malah amalan dan ritual agama seharian daripada penyerahan dan turutan tanpa dasar kukuh daripada agama, kepada semakan semula dalil daripada al Quran dan Sunnah.

Oleh itu, titah Baginda, kesukaran atau cabaran itu, bukanlah alasan untuk tidak meneruskan usaha baik ini.

“Satu kesungguhan itu tidak dinilai dari hasilnya tapi keikhlasan dan kesanggupannya dalam memastikan sesuatu objektif mencapai sasarannya,” titah Baginda.

Sementara itu, Dr Waluyo memberitahu, jika segala kelulusan diperolehi, operasi UMAM akan bermula di Perlis bermula suku terakhir tahun ini dengan pengambilan pelajar-pelajar sulungnya bermula Februari 2023 yang akan datang nanti.

Difahamkan, Muhammadiyah merupakan pertubuhan yang besar di Indonesia di mana memiliki 118 buah hospital, 450 klinik perubatan, 172 institusi pengajian tinggi, 349 pesantren, 9,000 sekolah rendah dan menengah serta 22,000 taman asuhan kanak-kanak.

Jumlah mahasiswanya sekarang ialah di sekitar 800,000 penuntut dan Perlis, Malaysia merupakan kampus universitinya yang pertama di luar Indonesia. – SM

(Visited 454 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button