Ekonomi

Aset TH turut terdedah kepada risiko pelaburan

LEMBAGA Tabung Haji (TH) melabur dalam pelbagai kelas aset yang terdiri daripada aset pendapatan tetap (sukuk), ekuiti, hartanah serta instrumen pasaran yang kesemuanya terdedah kepada risiko pelaburan.

Antara risiko berkenaan ialah perubahan ‘fundamental’ (asas) perniagaan sesebuah syarikat serta naik turun pasaran di dalam serta luar negara.

Penjelasan itu dibuat menerusi jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Bin Abdul Hamid (PH) di Dewan Rakyat yang meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pelaburan milik TH yang kini menjadi liabiliti.

“Sebagai contoh, wabak COVID-19 memberi kesan negatif kepada kedudukan ekonomi dan pasaran seluruh dunia, temasuk Malaysia, yang akan turut mempengaruhi pelaburan TH.”

Selain itu, pelaburan TH juga disandarkan kepada Strategi Aset Alokasi (SAA) yang berteraskan pelaburan patuh Syariah yang memberi pulangan stabil dan mampan.

Pecahan itu merangkumi aset pendapatan tetap sebanyak (55 peratus), ekuiti (25 peratus), hartanah (15 peratus) dan instrumen pasaran wang (5.0 peratus).

Dalam pada itu, kerajaan juga akan sentiasa memantau dan menilai prestasi pelaburan TH berikutan kedudukannya sebagai institusi kewangan Islam terbesar serta memainkan peranan yang signifikan, khususnya dalam memegang amanah pendeposit-pendeposit umat Islam.

“Justeru, segala pelaburan dan urus niaga yang dijalankan oleh TH akan sentiasa akan diteliti oleh kerajaan.” – BERNAMA

(Visited 110 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button