NasionalNegeri

Raja Muda Perlis berkenan sertai kayuhan amal anjuran CIMA

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyertai kayuhan amal anjuran Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) yang bermula dan berakhir di pekarangan Kilang CIMA di Bukit Ketri, Perlis.

Menyambut keberangkatan Baginda ialah Pengerusi CIMA Berhad, Datuk Zaiviji Ismail dan Pengarah Urusannya, Sharuddin Omar Hashim.

Sempena program yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ini disekalikan dengan aktiviti rutin MAIPs Peduli Bilangan ke 66 bagi tahun 2022.

Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih yang masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid As Solihin, Kampung Bawah Bukit, Chuping untuk diagihkan oleh amilnya, Shahidun Kasa di pekarangan masjid tersebut.

Baginda turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada tiga keluarga asnaf terdiri Aishah Saad, 80 di Kampung Balek Bukit, Raslan Salim, 57 di Kampung Balik Bukit dan Mohamad Nazir Muhammad Ashraf, 59 di Kampung Pokok Sena.

Terdahulu daripada itu selaku Pengerusi YTSP Perlis, Raja Muda turut menyerahkan sumbangan daripada pihak yayasan kepada lima kaum Siam Perlis dari kalangan yang memerlukan di Pusat Komuniti Wat Suwankhiri Kampung Guar Musang, Panggas.

Dalam ucapan beliau, Zaiviji memaklumkan bahawa beliau sendiri secara peribadi amat teruja kerana buat pertama kalinya dapat turut serta menyertai program kemasyarakatan seperti ini, berkayuh sambil beramal mengiringi Raja Muda yang amat prihatin dan dekat di hati rakyat.

Pada kesempatan yang sama beliau memaklumkan bahawa sejak mula beroperasi di Perlis pada tahun 1972, CIMA telah giat melaksanakan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) berteraskan pendidikan dan kebajikan masyarakat di negeri ini.

Beliau berkata, ini termasuklah penganjuran program tuisyen dan inisiatif pendidikan tambahan, sumbangan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan serta usaha menambahbaik atau membaikpulih fasiliti serta kemudahan awam di sekitar kawasan operasinya.

Zaiviji juga amat berharap semoga hubungan yang terjalin antara CIMA dan MAIPs serta YTSP Perlis yang kedua-duanya dinaungi oleh Tuanku Raja Muda Perlis ini akan bertambah erat, dan mudah-mudahan usaha murni kita ini akan diredhai dan diberkati oleh Allah S.W.T.

Untuk rekod, CIMA menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-50 pada tahun ini. – SM

(Visited 338 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button