Politik

Tian Chua gulung kongres bukti PKR terima perbezaan pendapat

PKR membuktikan kehebatan sebagai parti yang menerima perbezaan pandangan apabila kekal tenang tatkala Naib Presiden Tian Chua menyampaikan ucapan penggulungan, yang mempunyai intipati berbeza dengan pemimpin lain.

Dijangka tidak hadir pada kongres hari ini kerana melangkah keluar dari dewan semasa sesi perbahasan apabila menyertai Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) lain semalam, Tian Chua memberikan ucapan penggulungan dan memberi penjelasan pendiriannya pada kongres tahunan parti.

Menyatakan kekecewaan dengan situasi yang berlaku semalam, Tian Chua berkata beliau tetap menghadiri kongres parti hari ini kerana beliau merupakan pemimpin yang dipilih oleh anggota parti.

“Semalam ramai dalam kalangan perwakilan yang nak pecat dan ada juga hendak halang saya daripada berhadapan dengan rakan-rakan hari ini, ramai juga kata saya pengkhianat.

“Saya tidak pernah takut berhadapan dengan FRU, saya tidak pernah takut kekejaman polis, apatah lagi rakan-rakan yang tidak sepandangan dengan saya, sebagai reformis saya tidak akan pernah takut rakan yang tidak sepandangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Meski disambut dengan ejekan ‘boo’ dan sorakan perwakilan yang mengganggu ucapannya, Tian Chua meneruskan penggulungan dengan menyatakan bahawa isu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan tidak sepatutnya menjadi perkara pokok perbahasan kerana ia telah dipersetujui dalam perundingan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan anggota PKR seharusnya menumpukan perhatian kepada isu-isu yang menjadi kegelisahan rakyat seperti isu pembangunan, pendidikan, pendapatan isi rumah, kemiskinan dan kesenjangan ekonomi.

“Rakyat sedang memandang kita, saya setuju dengan Fahmi (Pengarah Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil) kita kena fahami isu seperti pendidikan dan kemiskinan, sebahagian besar pembahas nak ampu-ampu Anwar sebagai PM kelapan.

“Ya sekarang kita boleh kata, sebab kerana kita ada kemudahan yang selesa, bayangkan waktu 20 tahun dahulu dalam kesusahan kita angkat tangan dan kata ‘hidup Anwar’, kenang kembali,” katanya bersemangat dan mengingatkan anggota PKR akan pengorbanan pemimpin yang terlibat dalam gerakan reformasi pada peringkat awal.

Suasana di dalam persidangan hangat malahan kebanyakan perwakilan turut memegang plakad ‘Anwar PM Ke-8’.

Tian Chua menarik perhatian bahawa PKR perlu memastikan kemampuan untuk menjadi parti pemerintah yang inklusif dan mampu memberi solusi kepada masalah rakyat.

Katanya PKR perlu mengelak daripada menjadi parti yang hanya taksub menyokong pemimpin yang berkuasa kerana ia hanya akan melemahkan parti, sebaliknya setiap anggota perlu sedar dan memastikan usaha parti menjadi lebih kuat.

“Anwar diuji sama ada beliau dapat menyelesaikan masalah parti, ketegangan kaum, jurang pendapatan, kemiskinan dan kalau parti kita tidak menyedari akan hal ini, kita akan gagal menyumbang penyelesaian ke arah isu itu,” katanya.

Dalam nada berterus terang, Tian Chua menegaskan beliau akan tetap mempertahankan prinsip perjuangan dalam parti dan bukan hanya semata-mata menyokong pemimpin tertentu.

Sementara itu, Naib Presiden Chang Lih Kang berkata anggota parti mesti menunjukkan kesetiaan kepada satu nakhoda dan mengelak daripada berkabilah.

“Setia pada perjuangan parti, setia dengan Anwar, kapal yang besar hanya ada satu nakhoda, jika seorang nakhoda hendak ke Sabah, seorang lagi hendak ke Perlis bagaimana parti nak berjalan Dalam keadaan berkabilah pun kita perlu ada disiplin dan jangan terpesong daripada nilai teras parti,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden Datuk Dr A. Xavier Jayakumar berkata parti mempunyai misi penting iaitu berjuang untuk kelangsungan generasi akan datang

Katanya parti perlu mengekalkan momentum untuk terus meraih kepercayaan rakyat mengekalkan tampuk kuasa sebagai kerajaan.

“Ini politik keadilan, kalau kita tidak tentukan hala tuju kita, jangan tanya kenapa generasi akan datang tidak mengundi kita,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ahli supaya tidak mempertikaikan perjanjian yang telah dibuat oleh PH untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan. – BERNAMA

 

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button