NasionalNegeri

Raja Muda Perlis berkenan rai Hari Malaysia di Kedutaan Besar di Vientiane

HARI Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Vientiene kali ini berlangsung dengan penuh meriah dan bersejarah di atas perkenan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, Qairunnisa Md Alias.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr Zaliman Sauli.

Baginda yang mengetuai Program Jelajah Ilmu UniMAP Edisi Ke-16 ke Laos ini juga diiringi 28 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti berkenaan.


Lebih menarik kesemua ahli MPP ini segak bertanjak sebagai simbol kedaulatan negara memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia ini.

Majlis bermula dengan bacaan Ikrar Rukun Negara dan nyanyian lagu patriotik oleh pelajar UniMAP, kakitangan kedutaan dan rakyat Malaysia di Laos.

Qairunnisa berkata, sambutan itu berlangsung setiap tahun di Pejabat Kedutaan Malaysia bagi mengeratkan silaturahim dan memperingati Hari Malaysia.

“Kita jemput semua warga Malaysia yang berkesempatan untuk bersama merai tarikh 16 September,”katanya.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyampaikan sumbangan Ibnu Sabil sebanyak RM3,000 kepada Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane.

Matlamatnya tabung ini bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan. – SM

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button