fbpx
Berita

Raja Muda Perlis berkenan menerima mengadap Atase Agama Kedutaan Diraja Arab Saudi

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh Atase Agama di Kedutaan Diraja Arab Saudi Kuala Lumpur, Syeikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Robian di Galeri Di Raja Arau petang semalam.

Hadir sama ialah Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Di Pertua MAIPs menitahkan bahawa hubungan erat yang telah sedia terjalin antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia merupakan manifestasi dari semangat ‘ukhuwwah’ atau persaudaraan untuk saling menguatkan sepertimana yang dituntut oleh agama.

Baginda bertitah, pelbagai bentuk kerjasama boleh dilaksanakan antara pihak Perlis dan Arab Saudi dalam bidang-bidang berkaitan seperti pendidikan, pelancongan, komersil dan pembangunan pada waktu ini, malahan pada masa hadapan boleh turut dikembangkan kepada bidang baru seperti komponen kekuatan pertahanan dan sebagainya.

Pada kesempatan yang sama Mohd Nazim pula menambah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan melestarikan kerjasama yang telah sekian lama dilaksanakan bersama antara kedua belah pihak. MAIPs dan Pejabat Penasihat Agama Kedutaan Diraja Arab Saudi telah menerokai pelbagai bidang kerjasama dalam hal ehwal Islam, dakwah dan Bahasa Arab.

Kedutaan Arab Saudi turut bersetuju menyerahkan 100 naskhah terjemahan Al Quran dalam Bahasa Malaysia yang julung-julung kalinya diedarkan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi. Terjemahan berkenaan hasil kerjasama antara Kerajaan Arab Saudi dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut melibatkan kepakaran anak jati Perlis, Dr. Mohd Azrul Azlen Abdul Hamid yang juga merupakan Ahli Jawatakuasa Wakaf MAIPs.

Show More

Related Articles

Back to top button