Auto Travel

BMW Malaysia mempersembahkan jentera BMW 6 Series Gran Turismo baharu

BMW Malaysia baru-baru ini telah mempamerkan BMW 630i GT M Sport baharu yang dipasang secara domestik, gandingan antara prestasi, keupayaan jarak jauh, dan kemewahan yang dipamerkan oleh jentera ini. Ianya terkini bagi kenderaan seumpamanya sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2017, dengan perwatakan unik BMW 630i GT M Sport baharuini meletakkan jentera penjelajah, ‘grand tourer’ ini dalam kelasnya yang tersendiri.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Keunggulan DNA BMW terus diberi nafas, termasuk dalam model-model kenderaan khusus kami. Dengan perwatakan yang unik, BMW 6 Series Gran Turismo baharu menduduki kelas yang tiada bandingannya dalam arena automotif, namun statusnya sebagai BMW tidak dapat dinafikan. Kami berasa bertuah kerana berpeluang untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan yang moden lagi arif dengan citarasa mereka, menerusi jentera BMW yang memadankan aspek keselesaan jarak jauh dengan keupayaan serba lasak, berserta interior yang mewah dengan ciri-ciri kefungsian yang pintar – sedia untuk dimanfaatkan setelah kita dapat bergerak bebas semula di Malaysia tidak lama lagi.”

 

Tampil dengan perwatakan coupé mewah serta ruang kabin yang luas, BMW 630i GT M Sport baharu memenuhi segmen pasaran yang khusus – sebuah konsep kenderaan luar biasa yang berpaksikan janji jenama BMW untuk memastikan Kenikmatan Pemanduan Sempurna (Sheer Driving Pleasure) sentiasa direalisasikan, walau sejauh mana pun destinasi yang dituju.

Memukau dengan kehadiran dan kelasakannya.

BMW 630i GT M Sport baharu telah direka suai mengikut keperluan pelanggan yang bercitarasa, ia menawarkan individualiti, estetika, dan keselesaan pemanduan yang mengagumkan untuk perjalanan yang panjang.

Komponen lampu hadapan yang diperbaharui, gril ‘kidney’ yang besar, bampar baharu serta reka bentuk lampu hadapan LED yang bersifat kontemporari menyerlahkan penampilan BMW 630i GT M Sport.  Bagi menjamin tahap kebolehlihatan yang maksimum ketika memandu, BMW Laserlight dengan ciri bantuan lampu puncak merangkumkan teknologi pencahayaan laser dinamik pada sistem lampu hadapan LED Matrix. Lampu laser ini menyusuli haluan jalan raya dalam mod lampu puncak, dan buat julung kalinya mampu mengadaptasi pencahayaan walaupun dalam mod lampu rendah. Dalam mod lampu puncak laser, jarak capaiannya dipertingkatkan sehingga mencecah 650 meter – iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding lampu puncak konvensional.

BMW 630i GT M Sport baharu dilengkapi dengan set roda aloi ringan M 20 inci dalam penggayaan ruji ‘Star’ 817 M Bicolour dengan tayar bercampur dan tayar ‘run-flat’. Angkup brek M Sport berwarna biru dengan designasi “M” turut menyerlahkan lagi kelasakan jentera Gran Turismo baharu ini, manakala Garisan Bayang (Shadow Line) berglos tinggi M membingkaikan siluet serba atletiknya.

Di seksyen belakang, BMW 630i GT M Sport menampakkan bentuk bampar baharu dan sisipan peresap baharu yang didatangkan dengan pakej M Sport, dipadankan dengan paip ekzos berbentuk trapezium di kedua-dua sisi. Sesuai dengan kebolehannya sebagai jentera penjelajah berjarak jauh dan berpaksikan prestasi, spoiler belakang berciri aktif disediakan sebagai standard, lantas meningkatkan daya turun (downforce) pada paras kelajuan yang tinggi. Spoiler belakang ini akan dinaikkan secara automatik pada kelajuan 120 km/j dan diturunkan semula apabila jentera tersebut diperlahankan sehingga kelajuannya mencecah 80 km/j.

Sementara itu, operasi manual dapat dibuat melalui butang yang disediakan di konsol sentral. Demi kemudahan tambah, BMW 630i GT M Sport membawakan Comfort Access System dan BMW Display Key.

Kuasa yang mengagumkan.

BMW 630i GT M Sport baharu dikuasakan oleh enjin petrol sebaris empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 258 kk, puncak tork bernilai 400 Nm, serta kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j. Pecutan abad dapat dibuat oleh kenderaan ini dalam masa 6.5 saat sahaja. Penggunaan bahan api direkodkan pada paras 7.3 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 kilometer, dengan emisi CO2 berkadar 166 g/km.

 

Melangkau lebih jauh dengan sentuhan yang menyelesakan lagi mewah.

Ruang interior yang luas, serba mewah dengan kerusi yang ditinggikan (sebanyak 5 cm) menjamin perjalanan yang memuaskan serta tahap kebolehlihatan yang bertaraf tinggi. Upholsteri Leather Dakota, material bumbung antrasit dan trim berleliang terbuka ‘fine-wood ash trunkwood’ dengan kemasan trim sorotan Pearl Chrome menyerlahkan lagi ambien mewah ruang interior jentera ini.

Di ruang tempat duduk pemandu, kemudahan paling menarik yang disediakan ialah paparan instrumen digital berserta dengan Paparan Kawalan (Control Display) – saiznya telah dipertingkatkan daripada 10.25 inci kepada 12.3 inci. Set butang kawalan hitam berglos tinggi di konsol sentral serta panel instrumen dalam Sensatec mempamerkan sofistikasi dan keelegenan. Tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, serta stereng berkulit M dan papar pandu (head-up display) untuk pemandu, mencerminkan sentuhan sporty BMW 630i GT M Sport baharu.

Aspek keselesaan yang dirumus untuk penjelajahan dalam BMW 630i GT M Sport baharu adalah seumpama model-model berkelas mewah, ia membawakan penyaman udara automatik dengan 4 Zon kawalan, lantas memastikan suhu yang optimal dapat dinikmati pada setiap masa.

Tempat duduk belakang menawarkan tiga kerusi bersaiz penuh yang menyelesakan, berserta dengan ruang kaki yang besar. Sentuhan tambahan ke atas ciri keselesaan hadir dalam bentuk tirai gulung – berkeupayaan elektrik untuk tingkap belakang dan mekanikal untuk tingkap sisi bagi penumpang di tempat duduk belakang. Bumbung kaca panoramik dwibahagian dengan panjang bersaiz satu meter dan lebar 90 sentimeter, menzahirkan suasana keterbukaan dan keluasan di ruang kabin.

Turut menyempurnakan ciri-ciri keselesaan yang ditawarkan, sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara menjamin kualiti hiburan yang benar-benar memuaskan ketika memandu.

Dari segi bantuan digital, BMW 630i GT M Sport baharu didatangkan dengan Driving Assistant dan Parking Assistant Plus, di samping Kawalan Luncur Aktif (Active Cruise Control) dengan fungsi Stop&Go. Juga disediakan sebagai standard untuk BMW 630i GT M Sport ialah BMW Live Cockpit Professional yang berciri digital sepenuhnya dengan Sistem Operasi BMW 7 (BMW Operating System 7), ia menawarkan akses ke atas pelbagai kemudahan digital BMW.

Fungsi-fungsi yang ditawarkan meliputi navigasi, BMW Intelligent Personal Assistant, keupayaan keterhubungan 4G LTE serta aneka kemudahan yang lain seperti Pengemaskinian Perisian Berjarak Jauh (Remote Software Upgrade) dan pengemaskinian peta tanpa sambungan wayar untuk sistem navigasi.

Dengan BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Gesture Control, BMW 630i GT M Sport baharu menaik taraf interaksi antara pemandu dan kenderaan ini. BMW Intelligent Personal Assistant membekalkan kemudahan yang diperibadikan dengan pilihan pemandu dan penumpang hadapan, yang membawakan fungsi seperti navigasi, penyaman udara, multimedia dan telefoni; manakala BMW Gesture Control menawarkan aksesibiliti, lantas meningkatkan ciri kemudahan dan tumpuan pemandu ketika menyusuri jalan raya.

BMW 630i GT M Sport baharu ditawarkan dalam empat warna eksterior yang memukau – Bernina Grey Amber Effect, Mineral White, Carbon Black, dan Sophisto Grey Brilliant Effect. Untuk ruang interior pula, pelanggan boleh memilih Leather ‘Dakota’ Black atau Leather ‘Dakota’ Cognac – kedua-duanya lengkap dengan sulaman eksklusif serta sisipan material kulit sebagai kontras.

BMW 630i GT M Sport baharu bakal disediakan di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara mulai 28 Mei lalu. Para pelanggan juga boleh membuat tempahan untuk memiliki BMW 630i GT M Sport baharu dengan bayaran RM 3,000 melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/.

 

Program pembiayaan dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 630i GT M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM 4,778.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik jentera BMW 630i GT M Sport baharu ini juga dapat merasai Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Harga jualan bagi BMW 630i GT M Sport baharu (atas jalan, tanpa insurans) ialah:

RM 430,800.00 (dengan SST)

RM 417,659.05 (tanpa SST)

Kredit : EnjinDot.Com

 

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button