NasionalNegeri

CVIA diharap terima pelabur Korea Selatan – Pemangku Raja Perlis

Kawasan Perindustrian Lembah Chuping atau ‘Chuping Valley Industrial Area’ (CVIA) yang sedang giat diusahakan di negeri Perlis mempunyai infrastrutur asas serta sampingan yang sesuai untuk menerima pelabur-pelabur dari Korea Selatan yang berhasrat untuk menempatkan projek pelaburan mereka di situ.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dari kenyataan media oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sebelum itu Baginda berkenan menyerahkan agihan zakat Ibnu Sabil MAIPs kepada Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Sumbangan bernilai RM5,000 tersebut diterima oleh Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin bagi pihak kedutaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ketika Baginda singgah dalam perjalanan ke Amerika Syarikat.

Baginda yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs bertitah agar sumbangan zakat Ibnu Sabil ini dapat digunakan oleh pihak Kedutaan bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang dalam kesusahan secara kecemasan di Korea Selatan.

Turut berangkat adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama, para pegawai kedutaan terdiri daripada Penasihat Pertahanan, Kolonel Mohamad Nazri Ahmad; Setiausaha Pertama, Muhammad Haidas Muhammad Sharif Song; dan Setiausaha Kedua, Sofiah Othman.

Pada kesempatan yang sama Juay Jin mencadangkan kepada Pemangku Raja supaya Kerajaan Negeri Perlis mempertimbangkan untuk mengadakan ‘Misi Pelaburan ke Korea Selatan’ supaya dapat berjumpa secara fizikal dan menerangkan kepada para usahawan di sini tentang potesi dan kelebihan negeri Perlis khususnya CVIA sebagai salah satu destinasi pelaburan baru yang menarik kepada para pelabur yang berminat.

Terang beliau lagi, ‘Bak kata orang, “Tak kenal maka tak cinta”, jadi usaha gigih harus dilakukan demi memperkenalkan negeri Perlis kepada pelabur di Korea Selatan’.

Di samping itu kata Juay Jin, berdasarkan kepada kepakaran serta teknologi terkini syarikat-syarikat Korea Selatan, antara sektor yang berpotensi seperti sektor yang berasaskan kepada teknologi hijau serta pertanian pintar, automotif, tenaga yang boleh diperbaharui, teknologi maklumat, elektrikal dan elektronik, serta juga industri halal adalah dianggap sesuai untuk menjadi tumpuan pelaburan untuk diterokai oleh syarikat-syarikat dari Korea Selatan buat negeri Perlis’.

Tambah beliau, ‘Pihak Kedutaan terutamanya pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Seoul akan sentiasa bersedia untuk membantu dalam menjayakan segala usaha ke arah mewujudkan pelaburan yang mampan ke negeri Perlis sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh beberapa buah negeri lain yang telah mengadakan misi pelaburan sebelum ini’.

Menurut rekod pihak kedutaan, pada tahun 2022, jumlah pelaburan asing yang diluluskan daripada negara Korea Selatan bagi sektor perkilangan di Malaysia adalah sebanyak 15 projek dengan jumlah pelaburan berpotensi sebanyak RM6.298 bilion.

Manakala bagi suku pertama 2023, pelaburan daripada negara Korea Selatan merupakan penyumbang kedua tertinggi bagi sektor pengilangan dengan jumlah pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak RM2.468 bilion melalui 6 buah projek. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button