Nasional

Raja Muda Perlis berharap pusat pengajian tinggi Islam ditubuhkan di Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa sejak dari awal lagi Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menaruh harapan ingin melihat wujudnya di negeri ini sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang selaras dengan pegangan negeri ini iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tuanku Raja juga ingin melihat sebuah institusi Pendidikan yang berupaya mengeluarkan para ilmuwan Islam yang memahami Al-Quran dan Sunnah dengan kefahaman yang sahih yakni kefahaman yang seiras dengan yang apa difahami dan diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda.

“Dari segi pegangan akidah pula, Tuanku Syed Sirajuddin mahu melihat sebuah pengajian tinggi yang berupaya membebaskan Umat Islam dari karut marut, khurafat, syirik dan apa sahaja yang menjejaskan akidah seorang Muslim. Sebuah institusi yang dapat memajukan minda umat dengan kefahaman dan iktikad yang betul. Minda yang merdeka dari kedangkalan fikir dan kekarutan dalam kepercayaan. Baginda juga percaya hanya dengan wujudnya institusi pengajian yang teguh berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah dengan kefahaman yang sahih sahaja mampu mencapai hasrat ini” terang Tuanku Raja Muda.

Begitulah asal usulnya tertubuhnya Fakulti Al-Quran dan Sunnah di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) baru-baru inj yang mendapat sambutan pendaftaran pelajar yang amat menggalakkan baik dari kalangan pelajar dalam dan luar negara.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat melawat Maahad Tahfiz Al-Quran Ar Raudhah, Kg Mengkuang Layar, Simpang Empat dan seterusnya menyerahkan sumbangan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM45,000 kepada pihak pengurusan Maahad Tahfiz berkenaan yang diterima oleh Pengerusinya, Hj Mohd Zahid Ibrahim baru-baru ini.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Program tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti ‘MAIPs Peduli Kali Ke 74 bagi tahun 2020’ yang bermula dan berakhir di Dataran Masjid Al Ittifaqiah Mengkuang Layar.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs turut berkenan singgah bagi menyantuni serta menyampaikan bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Masjid Al Ittifaqiah tersebut sempena program itu.

Tambah baginda lagi, untuk rekod, ‘Berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, (Laws of The Constitution of Perlis) 1948, Bahagian 2 Perkara 5 menyatakan: “The Religion of the State shall be Muslim Religion Ahli Sunnah Wal jamaah as heretofore professed and practiced in the State” yang bermaksud “Agama bagi Negeri Perlis ialah agama Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah seperti yang diamalkan di dalam negeri“.

(Visited 481 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button