Sukan

Raja Muda Perlis berangkat tutup SUKIPs 2019

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bekenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah bagi ‘Kejohanan Sukan Agensi Agama Islam Negeri Perlis (SUKIPs) 2019’ yang mengangkat tema “Unity in Diversity” yang diadakan di Pusat Bowling Kangar pada petang semalam.

Kejohanan tahunan yang memasuki tahun ketiga ini telahpun berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2019 yang lalu dan ia melibatkan pelbagai agensi agama Islam di negeri Perlis termasuklah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs), Yayasan Islam Perlis (YIPs), Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis serta Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) selaku tuanrumah penganjuran pada kali ini.

Pada majlis itu juga Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar semua agensi agama Islam di negeri Perlis pada tahun baru 2020 ini akan lebih proaktif, efektif, fokus, terkehadapan serta menyedari peranan serta keperluan masing-masing untuk menekankan soal kecekapan dan kebijaksanaan pengurusan institusi tadbir urus agama di negeri ini.

Baginda bertitah “Berusahalah dengan bersunguh-sungguh bagi mencapai setiap agenda yang dirangka dan pada masa yang sama memastikan agensi agama kita ini sentiasa bersifat telus serta bebas daripada mana-mana pengaruh negatif dan juga politik kepartian. Justeru, marilah kita sama-sama berdoa dan mengorak langkah bagi terus memajukan lagi Ummah dan agama Islam yang kita semua cintai ini”.

Pada SUKIPs 2019 ini, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) telah mengungguli kejohanan dengan mengumpul 6 pingat emas, 7 perak dan 4 gangsa diikuti oleh MAIPs di tempat kedua dan JAIPs di tempat ketiga. Sebanyak 76 pingat keseluruhan dipertandingkan di dalam kejohanan pada tahun ini melibatkan pelbagai acara termasuklah woodball, futsal, badminton, tarik tali, tenpin boling, karom, catur dan juga memancing.

Yayasan Islam Perlis dipilih sebagai hos untuk kejohanan pada tahun 2020 ini pula.

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button