Berita

Raja Muda Perlis berangkat hadir hari kesedaran AIDS sedunia

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri program kesedaran ‘Hari AIDS Sedunia 2021 Peringkat Negeri Perlis’ anjuran Jabatan Kesihatan Negeri bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Program yang diadakan di perkarangan Masjid Saidina Umar Al Khattab, Kg Guar Syed Alwi Kangar kali ini bertemakan “Akhiri Ketidaksamarataan, Akhiri AIDS , Akhiri Pandemik“ yang merupakan sebahagian daripada aktiviti kempen ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ dan turut mendapat kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa perkhidmatan kesihatan yang Kementerian Kesihatan Malaysia berikan dan kerjasama semua pihak termasuk pelbagai agensi dan NGO telah menurunkan bilangan kes tersebut. Teknologi rawatan terkini dapat memberi peluang kepada mereka yang dijangkiti untuk mempunyai kualiti hidup yang lebih baik selagi mereka patuh mengambil ubat-ubatan dan mengamalkan cara hidup sihat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa ‘Hari AIDS Sedunia’ saban tahun pada 1 Disember adalah untuk masyarakat mengingati mereka yang terkesan oleh HIV dan AIDS. Di negara kita terdapat lebih 125,000 kes dikesan sejak tahun 1986. Pada tahun 2021 terdapat 3100 kes yang dilaporkan sementara di Perlis pula terdapat 19 kes yang dilaporkan. Terdapat penurunan 66% kes dibandingkan dengan tahun 2002.

Menurut beliau, di Perlis didapati punca utama jangkitan HIV AIDS adalah 95% secara seks rambang di mana 69% adalah mereka yang melakukan seks sesama jenis; sementara 25% secara berbeza jenis atau heteroseksual. Terdapat 6% oleh mereka yang berkongsi jarum suntikan.

Di program yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan untuk diagihkan oleh amilnya, Mohd Iqbal Mohd Shariff.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button