Agama

Raja Muda Perlis berangkat berbuka dengan anggota Rejimen 504 Askar Wataniah

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam Tuanku Komander Bersama Warga lR504AW 2022’ yang telah diadakan di Dewan Seri Banang, Kem Bukit Keteri, Perlis pada jumaat petang.

Majlis yang menghidangkan juadah berkonsepkan BBQ itu turut dihadiri oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, para pegawai dan anggota lain-lain pangkat serta semua keanggotaan rejimen termasuk staf awam.

Tuanku Raja Muda turut berkenan solat maghrib, isyak dan sunat tarawih di Surau Al-Watani kem tersebut sebelum sama-sama berangkat menyertai jamuan santapan moreh di Kelab Perwira rejimen.

Dalam ucapan baginda menitahkan rasa bangga dengan semangat, komitmen dan kesatuan yang ditunjukkan oleh seluruh warga rejimen itu sepanjang tempoh melalui era pandemik yang lalu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra mengucapkan syabas dan penghargaan atas taat setia yang dicurahkan setelah melihat Rejimen 504 Askar Wataniah dapat melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan tanpa ada rungutan, bantahan dan keluh kesah daripada para pegawai serta anggota lain pangkatnya semua.


Tuanku Raja Muda turut mengingatkan bahawa bagi penstrukturan penugasan, semua anggota angkatan tetap yang berkhidmat di rejimen ini merupakan jurulatih kepada Askar Wataniah di negeri Perlis. Maka, sayangi dan ajarilah anggota sukarela dengan sepenuh jiwa. Dalam masa yang sama, mereka perlulah peka akan tugas hakiki dan tambahan yang telah diamanahkan. ‘Action Expresses Priorities’. Oleh itu, jadilah sebahagian daripada ejen promosi Askar Wataniah bagi sama-sama melengkapkan angkatan yang kredibel ini.

Terdahulu daripada itu turut diadakan ialah sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta penyerahan Sumbangan Amilin Petugas Lebaran kepada pihak rejimen berjumlah RM2,400 daripada pihak MAIPs.

(Visited 142 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button