Nasional

MAIPs bantu asnaf terjejas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited membantu golongan asnaf terjejas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak pandemik COVID-19.

Urusan utama yang melibatkan asnaf tetap diteruskan walaupun terpaksa menangguhkan urusan di kaunter pejabat MAIPs bagi tempoh PKP seperti yang telah diumumkan oleh Kerajaan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui satu sebaran media daripada pihak MAIPs hari ini.

Sebagai alternatif, MAIPs mengambil langkah membuka kaunter di pos pengawal Bangunan MAIPs untuk mengagih dan menerima borang permohonan zakat daripada warga asnaf, bahkan perkhidmatan lain seperti semakan status permohonan bantuan, penyata sumbangan oleh penyumbang, permohonan sewaan hartanah, aduan asnaf, termasuklah sumbangan zakat, wakaf dan sumber am tetap boleh diteruskan melalui perkhidmatan atas talian di portal MAIPs www.maips.gov.my.

“Usaha ini adalah manifestasi komitmen MAIPs dalam melaksanakan amanah agihan zakat, bahkan turut melaksanakan pergiliran tugas untuk program turun padang dalam kes-kes kecemasan atau bencana selain turut membuka kaunter bantuan terhad di Masjid Alwi, Kangar bermula 18 Mac lalu.” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menambah bahawa, sebagai langkah memudahkan penyaluran bantuan, MAIPs turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM618,000 agihan zakat di bawah Program Agihan Ziarah Dakwah Bil Hal kepada masjid-masjid seluruh Negeri Perlis.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM154,500 dikhususkan untuk membantu golongan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan seperti penjaja kecil, buruh harian dan seumpamanya sebagai langkah bantuan kecemasan untuk pembelian makanan dan keperluan terdesak mereka.

Menurut beliau, program berkenaan juga adalah kesinambungan daripada program yang telah dilaksanakan pada tahun sebelum ini untuk memberikan bantuan segera bagi tujuan pembelian makanan atau kecemasan dengan hanya perlu bertemu amil atau Jawatankuasa Kariah masjid-masjid berdekatan di seluruh Negeri Perlis.

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button