fbpx
Nasional

Raja Muda lancar ‘World Cleanup Day’ peringkat sekolah Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan ‘World Cleanup Day (WCD) 2020 Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Perlis’ yang diadakan di perkarangan Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah (SAIM), Behor Mali, Simpat Empat tengahari tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengetua SAIM, Ustaz Arpan Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Acara yang dianjurkan di seluruh dunia pada setiap tanggal 19 September bertujuan untuk mempertingkatkan tahap kesedaran masyarakat dunia mengenai krisis kelemahan pengurusan sisa pepejal sekaligus menggalakkan penyertaan anggota masyarakat dalam aktiviti gotong-royong pembersihan.

Selain itu, WCD juga bermatlamat untuk mencari jalan penyelesaian dalam memantapkan pengurusan sisa pepejal di dunia.


WCD Peringkat Sekolah-sekolah Negeri Perlis pada kali ini disambut dengan pelaksanaan aktiviti pembersihan dalam tempoh 20 minit pada jumaat 18 September 2020 di 102 buah sekolah menengah dan rendah seluruh negeri ini.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Hj Mohammad Abd Ghani, selain penerapan budaya kebersihan di kalangan warga sekolah, amalan tersebut turut digalakkan untuk diterapkan di rumah masing-masing dengan pelaksanaan aktiviti pembersihan pada keesokan harinya pada 19 September ini.

“Bagi menjunjung titah Tuanku Raja Muda Perlis yang mementingkan soal kebersihan dan keceriaan, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis telah meminta agar budaya kebersihan ini turut dilaksanakan di kediaman para pelajar masing-masing bermula 19 September esok,” tambah beliau.

Dalam kesempatan sama, Pengarah Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir turut mempersembah maklum mengenai pelaksanaan aktiviti gotong-royong pembersihan di persisiran pantai Kuala Perlis pada 19 September 2020.

“Program pada kali ini terpaksa dihadkan kepada bilangan 200 peserta bagi mematuhi arahan kerajaan, namun turut dimeriahkan dengan penglibatan beberapa NGO di pelbagai kawasan demi memastikan WCD dapat dijayakan dengan penjagaan SOP”, kata beliau.

Selain itu, WCD turut dijayakan dengan aktiviti gotong-royong pembersihan mengikut SOP di 102 buah masjid kariah seluruh negeri Perlis.

Menurut hebahan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), pengurusan masjid turut diminta untuk menaiktaraf tong-tong sampah di masjid sebagai langkah menerapkan pengurusan sisa pepejal yang sempurna di kalangan masyarakat.

Untuk rekod, MAIPs sebelum ini turut melancarkan kempen “Rakyat Perlis Hidup Bersih” dengan kerjasama pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bermatlamatkan untuk mempertingkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan serta menggalakkan pengurusan sisa pepejal yang sempurna melalui aktiviti kitar semula.

Difahamkan Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Rejimen 504 Askar Wataniah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kesihatan serta One Centre Malaysia Perlis adalah di antara organisasi yang telah mengatur gerak menyahut saranan bagi menjayakan program ini di beberapa lokasi pilihan masing-masing.

Seluruh rakyat Perlis marilah beramai-ramai tidak ketinggalan untuk membersihkan kawasan dalam dan luar bangunan rumah masing-masing sebaik mungkin pada hari sabtu 19 September 2020 dan mengambil bahagian dalam WCD bersama-sama seluruh masyarakat dunia lain untuk membuktikan bahawa kita adalah benar-benar ‘Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’.

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button