NasionalUncategorized

Lebih 100 pekerja pelabuhan Labuan adakan piket aman

LEBIH 100 pekerja Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) hari ini mengadakan piket secara aman bagi menyatakan bantahan pelantikan bakal pengendali pelabuhan Labuan Liberty Wharf.

Petisyen bantahan itu dibacakan oleh wakil pekerja, Roslan Umar, 45, manakala petugas yang lain mempamerkan kain rentang dan sepanduk yang menggesa campur tangan kerajaan terhadap perkara itu.

“Kami sebagai petugas LLPM membantah sekeras-kerasnya keputusan yang dibuat Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan (LPA) bagi pengambilalihan Labuan Liberty Wharf oleh pengendali yang baharu,” katanya ketika membaca petisyen itu di Desa Tunas, Kampung Sungai Miri di sini.

Katanya, mereka mahu LLPM yang berjaya membawa banyak perubahan terhadap pelabuhan itu tanpa sebarang geran dari kerajaan terus menerajui operasi pelabuhan berkenaan.

Petisyen itu yang turut dikongsikan kepada pihak media turut menyatakan pelantikan pengendali baharu dari luar Labuan dilihat mengenepikan kepentingan pihak tempatan.

Roslan berkata mereka telah lama bekerja dengan LLPM bagi memastikan operasi berjalan lancar sejak sebelum LPA ditubuhkan.

Wakil pengurusan LLPM Azhar Othman berkata beliau tidak menyangka pekerja mengadakan piket berkenaan dan menghargai kesetiaan yang ditunjukkan para pekerja.

Pada 17 Dis lepas, LLPM membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan konspirasi dalam proses membuat keputusan tender di pelabuhan Labuan.

Pengendali pelabuhan itu juga membuat laporan mengenai kebocoran keputusan tender itu yang belum diumumkan secara rasmi oleh LPA.

Sementara itu, LPA dalam kenyataannya kepada Bernama menafikan keputusan telah dibuat mengenai pengendali baharu pelabuhan kontena Labuan Liberty Wharf.
– BERNAMA

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button