MahkamahNasionalNegeri

Sarjan narkotik mengaku tidak bersalah terima suapan RM2,000

SEORANG Penolong Pegawai Penyiasat Polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada seorang wanita, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazwan Ahad, 36, membuat pengakuan tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merupakan anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan wang berjumlah RM2,000.

Wang berkenaan diterima daripada Hasnah Ahmad Shah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kepada Julhashfizan Abdullah yang juga anak kepada wanita berkenaan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan RI 1 Taman Rambai Idaman dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.00 petang 9 Mac 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau berbentuk wang RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa telah menerima suatu benda berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 daripada individu sama tanpa sebarang balasan yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh di tarikh, tempat dan masa sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohd Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Beliau turut meminta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mampu selain sentiasa memberi kerjasama sejak siasatan bermula pada 2021.

Elesabet kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Katanya, tertuduh perlu menyerahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai. – SM

BACA Bilik siasatan jenayah narkotik terbakar, 40 % fail musnah

BACA Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik serah papan tanda kesedaran anti dadah

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button