NasionalNegeri

Raja Muda berkenan tinjau status Projek Klinik Kesihatan, Kuaters Padang Besar

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau status terkini kerja-kerja membangunkan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters 2F/2G Padang Besar yang dijangka siap pada 11 Februari tahun depan, petang semalam.

Hadir sama mengiringi Tuanku Syed Faizuddin ke projek yang sudah 82 peratus siap tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Taklimat dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis, Ir. Mohd Shahril Mohd Said.

Klinik baru berkenaan akan dibina atas tanah berkeluasan 1765.22 meter persegi di atas Lot PT8385 Padang Besar, Perlis.


Ia merangkumi pembinaan Klinik Jenis Teja 2 tingkat yang mempunyai Klinik Pesakit Luar, Klinik Ibu Mengandung, Klinik Pergigian, Bilik X-Ray dan Kecemasan.

Ia juga mempunyai empat unit kuarters untuk kakitangan kesihatan.

Klinik ini akan mampu menampung bilangan pesakit dalam 300 hingga 400 orang dalam satu hari.

Keberangkatan Baginda adalah bersempena program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke-77 Bagi Tahun 2022.

Raja Muda turut berkenan selepas itu untuk singgah menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs di tiga buah rumah milik keluarga asnaf terpilih.

Yang bernasib baik pada kali ini adalah Baharom Hamdan 70, Salleh Che Fa, 73 dan Osman Daud, 75 di mana kesemuanya tinggal di Felda Mata Air, Padang Besar (Utara). – SM

(Visited 17 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button