Jenayah

Duit simpanan pesara RM740,000 lesap ditipu Macau Scam

SEORANG pesara mendakwa simpanannya berjumlah RM740,000 lesap selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, sejak hampir empat bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa  berusia 65 tahun itu mendakwa, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Balai Polis Kota Kinabalu, Sabah sekitar Mac lepas.

BERNAMA melaporkan, suspek mendakwa perlu melakukan soal siasat kerana terdapat kertas siasatan mengaitkan nama mangsa yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Mangsa yang menafikan terlibat dengan kes berkenaan diarahkan berkongsi maklumat mengenai wang simpanannya menerusi panggilan telefon itu supaya tidak dirampas atau akaun banknya dibekukan sepanjang siasatan.

“Suspek didakwa memberitahu, mangsa juga perlu memindahkan wang itu ke akaun baharu dengan jaminan akan dipulangkan semula selepas tamat siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa diberi amaran supaya tidak menceritakan hal berkenaan kepada orang lain termasuk ahli keluarga atau dikenakan tindakan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi dan mendedahkan siasatan polis.

Mangsa mendakwa telah memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan akaun bank miliknya ke akaun diberikan suspek sebanyak tujuh kali secara berperingkat mulai 23 Mac.

Bagaimanapun mangsa mulai curiga selepas gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan status siasatan baru-baru ini kerana mahu menggunakan wang simpanannya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button