NasionalNegeriUncategorized

Raja Muda berkenan mengadap perpisahan Panglima Briged Ke 30 Infantri

RAJA Muda Perlis, Brigedier Jeneral, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengadap perpisahan oleh Panglima Briged Ke 30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral, Mohd Zaki Abu di Wang Kelian.

Mohd Zaki menyembah maklum kepada Baginda yang beliau bertukar keluar ke Markas Tentera Darat, Jabatanarah Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) untuk mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pengarah.

Tampuk pemerintahan Briged Ke 30 Infantri yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder Mata Ayer Perlis yang memegang slogan ‘Teguh Perisai’ itu diserahkan melalui satu Majlis Serah Terima Tugas kepada Panglima yang baharu iaitu Brigedier Jeneral Yazid Yusuf pada 16 Januari lalu.

Di majlis mengadap tersebut juga Mohd Zaki yang amat berbangga dan berasa bertuah kerana dapat berkhidmat di negeri ini menyembah ucapan menjunjung setinggi kasih kepada Raja Muda di atas segala sokongan dan perkenan yang diberikan oleh Baginda sepanjang perkhidmatan beliau di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat turut menzahir penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zaki yang telah berkhidmat di Perlis sejak 11 November tahun lalu.

Baginda berharap beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta semoga terus maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu kelak. – SM

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button