Nasional

Ubah syarat i-Sinar KWSP, kerajaan perlu tunjukkan keprihatinan

KEMARAHAN rakyat terhadap syarat dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengenai pengeluaran i-Sinar daripada Akaun 1 masih belum reda.

Sehingga hari ini, hal berkenaan hangat dibincangkan oleh rakyat Malaysia terutama dalam media sosial apabila masing-masing mengeluh dan marah dengan syarat tersebut.

Pada mereka, kerajaan tidak patut mengenakan syarat sedemikian apabila rakyat sendiri menuntut pengeluaran wang simpanan daripada KWSP untuk menghadapi tekanan ekonomi.

Pada mereka, isu pendapatan terjejas ataupun sebaliknya, tidak patut menjadi syarat utama kepada pengeluaran wang simpanan mereka.

Kerajaan perlu memahami seluruh rakyat secara global menghadapi tekanan ekonomi akibat pandemik Koronavirus (Covid-19) serta wujud kerisauan dan ketakutan mengenai situasinya yang tidak menentu.

Justeru, kerajaan digesa supaya berisikap toleransi dan prihatin terhadap situasi yang dihadapi rakyat.

“Kalau kerajaan ini prihatin dan peka kepada tuntutan rakyat, maka inilah masanya untuk mereka mengubah dan melakukan penambahbaikan pada pengumuman yang dibuat semalam oleh KWSP.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu video yang dimuat naik menerusi Facebooknya hari ini.

Terdahulu, KWSP mengumumkan syarat pengeluaran i-Sinar Akaun 1 mengikut dua kategori yang ditetapkan dengan kaedah pengeluaran bukan secara one-off.

Bagi Kategori Satu, syaratnya pencarum sudah tidak mencarum selama dua bulan berturut-turut atau mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 30 peratus.

Bagi kategori tersebut, tiada dokumen sokongan diperlukan dan pemohon boleh mula memohon pada 21 Disember ini.

Kategori Dua pula, pencarum mesti membuktikan pengurangan gaji berlaku selepas 1 Mac 2020 sebanyak 30 peratus dengan mengemukakan dokumen seperti slip gaji dan notis berkenaan pengurangan pendapatan atau pemberhentian kerja.

Pemohon dalam kategori ini hanya boleh memohon mulai 11 Januari tahun hadapan.

Bagaimanapun, pencarum hanya akan menerima bayaran secara 1+6 iaitu RM5,000 atau RM10,000 pada bulan pertama, sementara baki akan dikreditkan setiap bulan selama enam bulan.

Bagaimanapun, Najib Razak yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu menggesa kerajaan mendengar tuntutan rakyat dan berjanji akan memperjuangkannya.

“Kita akan terus memperjuangkan perkara sebab inilah hasrat rakyat dan pada saya kalau kerajaan ini masih kekalkan dengan syarat-syarat yang ketat maka ini mengundang kemarahan rakyat secara berterusan,” katanya. – SM

 

(Visited 2,270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button