Kemalangan

Lelaki maut motosikal berkuasa tinggi terbabas langgar besi pembahagi jalan

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas disyaki terbabas di Kilometer 208.1, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa Mohd Sayoti Lofti Abdul Wahab, 35, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang Honda CBR 1000 itu dalam perjalanan dari Puchong, Selangor menghala ke Merlimau, Jasin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di lorong kedua lebuh raya terbabit.

“Motosikal mangsa telah terkena pada besi pembahagi jalan manakala penunggangnya tercampak di tengah antara besi pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Arshad berkata, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala kemudian disahkan meninggal di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat,” ujarnya.

Katanya, motosikal mangsa dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan
Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button