Nasional

Raja Muda berharap Perlis segera masuk fasa dua, tiga pemulihan pandemik

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail amat berharap dengan kerjasama semua rakyat, Insha allah negeri Perlis dalam masa terdekat akan dapat beralih ke Fasa Kedua dan malah ke Fasa Ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara.

Ini adalah kerana sepertimana di tempat lain juga, ramai rakyat negeri ini yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19. Ada yang kehilangan orang tersayang, berkurang atau hilang punca pendapatan dan tidak kurang juga terkesan baik dari segi fizikal mahupun emosi.

Jelas baginda lagi, ‘Sekiranya negeri Perlis berjaya memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara, kita semua hendaklah bersama-sama bekerja lebih keras lagi untuk segera ke Fasa Ketiga yang akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka’.

‘Oleh itu, kita semua hendaklah terus berusaha supaya dapat mengekalkan kes harian di paras yang rendah dan sistem kesihatan yang mencukupi, dan pada masa yang sama kita hendaklah berusaha bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 40 peratus populasi rakyat Perlis menerima dua dos suntikan vaksin dalam tempoh masa yang sepantas mungkin.

Demikian titah perutusan baginda yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berikutan pengumuman oleh kerajaan pusat yang menyatakan bahawa negeri Perlis yang telah berjaya mencapai kebanyakan nilai ambang indikator adalah antara beberapa buah negeri yang sedang dipertimbangkan untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara tidak lama lagi.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda menitahkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua rakyat negeri ini kerana sama-sama berdiri teguh dalam mengawal penularan Covid-19 dan turut sama menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meminta kepada mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, segeralah berbuat demikian di aplikasi MySejahtera. Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok ini adalah bergantung kepada rakyat Perlis yang menerima suntikan vaksin.

Dengan peningkatan bekalan vaksin, lebih ramai rakyat Perlis akan mendapat temujanji suntikan vaksin dan berpeluang menerima dos pertama.

Baginda juga berharap semua tidak berputus asa dalam menunggu giliran, semaklah tarikh temujanji suntikan vaksin masing-masing secara berkala dan hadirlah mengikut temujanji yang diberikan kelak.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa sehingga kini, hampir kesemua frontliners telah menerima vaksinasi di negeri Perlis. Malah, lebih 70 peratus daripada golongan yang berusia 60 tahun ke atas dan golongan yang mempunyai komorbiditi telah menerima vaksinasi.

Tambah beliau lagi, ‘PICK Negeri Perlis dijalankan di Dewan 2020, Dewan Seri Melati dan Dewan Warisan. Selain itu, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar memberi vaksinasi kepada golongan berisiko tinggi. Hospital dan klinik swasta turut sama menjayakan PICK Negeri Perlis’.

‘Kerjasama pelbagai jabatan dan agensi telah memberikan kejayaan program berkenaan di negeri ini. Sememangnya, perkembangan positif PICK Negeri Perlis ini memberi keyakinan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat kita jayakan bersama di negeri ini’ jelas Dr Sirajuddin.

(Visited 253 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button