Nasionalpilihan

Raja Muda ajak rakyat Perlis supaya kekal aktif

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat di negeri ini sama-sama berusaha keras dan saling ingat memperingati antara satu sama lain bagi memperbanyakkan lagi melakukan
aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian diri sendiri, keluarga tersayang dan juga di kalangan rakan sekerja demi untuk menjaga tahap kesihatan masing-masing.

‘Lakukanlah aktiviti seperti berbasikal, berjalan pantas, berjoging, senamrobik, futsal, woodball, tekan tubi, bangkit tubi, lompat tali, mengangkat beban di gimnasium atau apa-apa jenis sukan sekalipun mengikut minat dan kemampuan peribadi’.

‘Selain daripada itu, pergiatkanlah juga aktiviti harian di rumah seperti membersihkan kawasan dalam serta halaman rumah, memotong rumput, mengemop lantai, menyiram pokok atau mencuci kenderaan mengikut kecukupan masa masing-masing’.

Kita janganlah sekadar menunggu setahun sekali sempena Hari Sukan Negara yang disambut pada setiap 10 Oktober untuk melaksanakan sebarang aktiviti kecergasan.

Demikian dititahkan oleh baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan program ‘Hijrah Minda MAIPs Billangan Ke 19 Bagi Tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Ar-Ridzuan, Kg Bohor Masjid, Kangar, Perlis.

Keberangkatan baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Di program tersebut yang bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat’ dan ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ seramai sepuluh orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima agihan zakat MAIPs daripada baginda. Turut diadakan sebelum itu ialah ceramah yang disampaikan oleh wakil daripada Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis serta promosi pengambilan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs dan merekrut anggota sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim mengulaskan bahawa penyakit tidak berjangkit seperti diabetes boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Tambah beliau, jumlah masa yang disarankan bagi aktiviti fizikal yang dilakukan seseorang mestilah sekurang-kurangnya 150 minit secara terkumpul sepanjang minggu, contohnya; 30 minit berbasikal setiap hari sebanyak 5 kali seminggu.

Sirajuddin juga menasihatkan agar masyarakat mengamalkan pemakanan sihat dengan mengurangkan minuman manis, meningkatkan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari, memasukkan hanya 1 sudu teh gula sahaja ke dalam minuman yang dibancuh,
mengambil 2 senduk sahaja nasi, mee, bihun, laksa atau koewteow untuk sekali makan. 1 senduk nasi adalah bersamaan 2 keping roti putih atau 6 keping biskut kering atau 1 keping capati.

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button