Nasionalpilihan

Rais tidak boleh pengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tangga Batu

Sebahagian besar daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) tidak akan menghadiri mesyuarat pertama UMNO Bahagian Tangga Batu dibawah Ketua Bahagian yang baharu dilantik Datuk Rais Yasin esok.

Timbalan Ketuanya, Shahrin Muharam berkata, beliau bersama Naib Ketua, Ketua Wanita dan Ketua Puteri termasuk AJK dua sayap telah mengambil keputusan tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Menegaskan perkara tersebut beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan surat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada 27 Mac lalu.

Surat tersebut katanya, memaklumkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 telah membuat keputusan dan ketetapan bahawa pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada 18 Mac lalu adalah tidak sah.

“Sehubungan itu, Rais tidak boleh mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian selagi pemilihan baharu tidak dibuat seperti tertera pada surat bertarikh 27 Mac lalu.

“Saya berpegang kepada surat yang dihantar oleh Shahrir dan pemilihan semula jawatan Ketua Bahagian perlu diadakan semula.

“Justeru, sebagai Timbalan Ketua Bahagian saya akan menggalas segala urusan pentadbiran buat sementara waktu sehingga pemilihan Ketua UMNO Bahagian diadakan semula seperti yang diarahkan,” ujarnya di sini hari ini.

Surat bertarikh 27 Mac ditandatangani Shahrir turut mengarahkan UMNO Bahagian Tangga Batu mengadakan pemilihan semula hanya bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian itu sahaja dikendalikan Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mengesahkan keabsahan kemenangan Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu yang baharu.

Pada pemilihan tersebut, Rais yang juga bekas Ketua Pemuda Bahagian itu memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali dengan 278 undi serta menang dengan majoriti empat undi.

Seramai 568 perwakilan menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu.

Mengulas lanjut Shahrin berkata, beliau yakin surat tersebut adalah sah kerana datang daripada pejabat Pengerusi JPU kira-kira pukul 2.26 petang 27 Mac lalu.

Katanya, surat tersebut adalah sama dengan surat yang diterima oleh UMNO Bahagian Sik apabila JPU mengarahkan pemilihan semula jawatan ketua bahagian itu yang dimenangi Datuk Muhammad Khizri Abu Kasim dengan majoriti satu undi. – SM

(Visited 839 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button