Politik

Mahu Adham, Halimah kekal bertanding PRU15

Tidak sampai tempoh 24 jam sebelum Barisan Nasional (BN) akan membuat pengumuman calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), suasana di seluruh negara kian bercelaru.

Ini berikutan tersebar nama-nama beberapa calon pilihan yang dianggap winnable candidate tidak dicalonkan semula seperti Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Adham Baba (Tenggara) dan Datuk Halimah Mohd. Sadique.

Halimah Mohd Sadique.

Nama lain yang turut tidak tersenarai ialah Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Mastura Mohd. Yazid.

UMNO Bahagian Tenggara dan Kota Tinggi hari ini meminta pucuk pimpinan BN menyenarikan semula nama Adham dan Halimah terus dikekalkan bertanding pada PRU15.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Nasaruddin Ahmad berkata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu adalah pilihan calon terbaik untuk dikekalkan di kerusi berkenaan.

Menurutnya, Adham adalah wakil rakyat yang berwibawa dan prihatin terhadap nasib semua kaum di kawasan berkenaan sejak menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut pada 2018.

“Malapetaka besar boleh berlaku di Tenggara jika seandainya Adham tidak dicalonkan semula untuk bertanding PRU15.

“Ini sebenarnya meresahkan dalam kalangan pemimpin di peringkat akar umbi jika nama Adham tidak dicalonkan malam ini,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai spekulasi yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp apabila nama Adham dan Halimah antara 10 tokoh yang akan digugurkan daripada bertanding pada PRU15, 19 November ini.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian di Kota Tinggi, Ketua UMNO Cawangan Sedili Hashim Muhammad berkata, Kota Tinggi memerlukan pemimpin seperti Halimah untuk berkhidmat kepada mereka.

“Halimah seorang yang akrab dan mesra dengan penduduk di Parlimen Kota Tinggi. Beliau adalah individu yang benar-benar terbukti mampu meneruskan kepimpinan sebagai ahli Parlimen di sini.

“Parlimen Kota Tinggi bukan sahaja memiliki pengundi Melayu yang cukup ramai, tetapi ia juga mewakili masyarakat luar bandar dan peneroka Felda. Kami memerlukan pemimpin seperti Datuk Halimah yang bekerja keras membawa suara penduduk,” katanya.

Halimah merupakan ahli parlimen BN sejak 2008 dan berkhidmat selama dua penggal di Tenggara sebelum bertanding di Kota Tinggi pada 2018.

Dia berkhidmat sebagai menteri perpaduan negara ketika pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Halimah dan Adham adalah antara sekumpulan menteri dan timbalan menteri yang dilaporkan tidak akan dipilih semula pada PRU ini kerana menyokong kepimpinan Ismail Sabri. – SM

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button