Politik

Rafizi terima baik pertandingan tiga penjuru jawatan Timbalan Presiden PKR

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2025, yang kini memasuki fasa akhir, adalah kali pertama parti memilih pimpinan sebagai parti Kerajaan Persekutuan. Sudah tentu persaingan sengit berlaku di setiap peringkat.

Pemilihan di peringkat cabang telah mengundang beberapa fenomena baru, termasuklah keadaan bila mana hanya calon Ketua Cabang menang tetapi keseluruhan jawatankuasa dan sayap-sayap dimenangi oleh pesaing. Saya juga dimaklumkan jumlah bantahan melebihi 190 di seluruh negara.

Perkara-perkara ini membayangkan bahawa isu berbangkit semasa pemilihan sewajarnya diuruskan dengan baik untuk menjaga keharmonian parti di setiap peringkat, tidak kira pihak mana yang membuat bantahan.

Menyedari bahawa aduan-aduan dan isu yang timbul perlu diuruskan dengan harmoni, sebagai Timbalan Presiden, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan menguruskan perkara ini sepenuh masa, termasuk berjumpa dan mendengar sendiri isu yang dibangkitkan oleh pelbagai calon yang bertanding, tanpa mengira kumpulan.

Masa yang diperlukan adalah panjang. Sewajarnya, kerja-kerja mengurus parti yang memerlukan masa khusus seperti ini tidak dicampuradukkan dengan tugas dan masa sebagai seorang menteri. Bagi saya, mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri adalah satu budaya politik baru yang wajar kita semai.

Oleh itu, saya telah membuat permohonan kepada YAB Perdana Menteri untuk bercuti dari tugas rasmi untuk memberi tumpuan meredakan keadaan di peringkat akar umbi.

Sepanjang tempoh saya bercuti dari 29 April ke 5 Mei (iaitu empat hari), saya telah mengadakan pelbagai pertemuan dan membawa isu-isu berbangkit mengenai pemilihan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

MPP bertarikh 29 April 2025 bersetuju supaya satu audit bebas dijalankan untuk memastikan sistem pemilihan digital bebas dari campur tangan yang mempengaruhi keputusan akhir di peringkat cabang.

Laporan juru audit bebas ini dibentangkan di dalam MPP bertarikh 4 Mei 2025, seperti di dalam . Berdasarkan laporan ini, MPP menerima gesaan Presiden supaya keputusan di peringkat cabang disahkan walaupun ada aduan-aduan berbangkit, agar parti boleh bergerak ke hadapan dan pemilihan peringkat pusat dapat diteruskan.

Semasa audit bebas itu berjalan, seperti mana persetujuan MPP bertarikh 29 April 2025, calon-calon yang membuat aduan boleh melantik wakil teknikal mereka untuk turut serta sebagai pemerhati semasa proses audit.

Saya sertakan laporan wakil teknikal yang dilantik calon mengenai keseluruhan proses audit di .

Atas prinsip ketelusan kepada semua anggota parti, saya percaya kedua-dua pandangan dari laporan-laporan ini boleh memberi konteks keseluruhan kepada pelbagai isu yang timbul.

Walau apa pun kesimpulan yang dibuat, saya menyeru supaya anggota-anggota parti menerima saranan untuk merapatkan saf dan memberi tumpuan mengukuhkan parti.

Pun begitu, memandangkan sistem yang sama akan digunakan untuk pemilihan pimpinan pusat, saya menggesa supaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak segera memastikan kelemahan-kelemahan sistem yang dibangkitkan di dalam kedua-dua laporan diperbaiki secepat mungkin.

Ini termasuklah perkara-perkara berikut:

i. Mengesahkan jumlah OTP yang dikeluarkan berbanding dengan jumlah eKYC, undi di pelayan S3 dan undi akhir yang direkodkan di blockchain, untuk mengenal pasti berapa banyak undi yang tercicir akibat kelemahan sistem;

ii. Melindungi versi kod asal ( ) yang dimuat naik di pelayan awan ( ), memastikan versi yang betul dan sama digunakan sepanjang proses pemilihan, menyemak keseluruhan kod asal bagi setiap versi yang dimuat naik, untuk memastikan tidak ada kod berbeza yang memproses pengundian;

iii. Melindungi dan mengawal muat naik kod asal ( ) dengan menyemak log muat naik ( ) sebelum, semasa dan selepas proses pengundian, bagi memastikan integriti sistem terjamin; dan

iv. Isu-isu teknikal lain yang dibangkitkan.

JPP bertanggungjawab memastikan proses pemilihan pusat (termasuk keabsahan dan kemampuan teknikal sistem) berjalan dengan lancar, untuk mengelakkan kontroversi berpanjangan selepas pemilihan pusat selesai.

Sepanjang saya bercuti, saya juga mengadakan pertemuan empat mata dengan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Perbincangan dengan YAB Datuk Seri Anwar berlaku dua kali dan sekali dengan YB Datuk Seri Saifuddin.

Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar, saya mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah Pilihanraya Umum ke-16 (PRU16) perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat.

Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi. Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (), dan tidak menyerang () seperti rentak KEADILAN semasa menjadi pembangkang.

Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU16. Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas, seperti sebelum ini. Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen KEADILAN yang dilihat tidak agresif.

Saya juga menyuarakan perkara yang sama kepada Datuk Seri Saifuddin dan menyatakan kesediaan saya untuk memberi laluan, agar saya boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU16 tanpa perlu terikat kepada peraturan kabinet dan kerajaan.

Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian dari kabinet. Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir.

Saya berterima kasih kepada semua aktivis dan pimpinan KEADILAN di semua peringkat yang telah memberi pelbagai pandangan dalam tempoh seminggu yang lepas.

Kita perlu menerima hakikat bahawa beberapa kontroversi yang timbul akibat pemilihan kali ini (kecil atau besar) sedang diperhatikan rakyat. Sebab itu, saya berpendapat apa pun isu berbangkit, baik mengenai sistem, aduan, atau perkara-perkara lain, perlu ditangani secara berhemah kerana tingkah laku kita sepanjang proses ini dinilai rakyat.

Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri. Maka, keputusan-keputusan kita mestilah dipandu oleh kebertanggungjawaban, bukannya berkait dengan pangkat dan kedudukan.

Saya menerima baik berita-berita bahawa Datuk Seri Saifuddin dan Saudari Nurul Izzah Anwar menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti. Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.

Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.

Ia keputusan yang menang-menang bagi saya.

Apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi PRU16.

Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.

Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah.

7 Mei 2025

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button