Politik

Rafizi Ramli Tamatkan Khidmat Sebagai Menteri Ekonomi

MENTERI Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman media sosial beliau, Rafizi memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga tarikh akhir perkhidmatannya.

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti untuk menterjemahkan agenda rakyat menjadi program kerajaan,” katanya.

Peletakan jawatan ini dilihat susulan kekalahannya dalam pemilihan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menyaksikan tempat tersebut diambil alih oleh Nurul Izzah Anwar. Seiring dengan amalan demokrasi, Rafizi percaya bahawa pemimpin yang tewas dalam pemilihan perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang untuk menggalas peranan dalam kerajaan.

Dalam kenyataannya, Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi atas sokongan padu sepanjang beliau menerajui kementerian tersebut.

Antara pencapaian terakhir beliau sebagai Menteri Ekonomi ialah pemuktamadan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang kini menunggu untuk dibentangkan di Parlimen. RMK13, menurutnya, memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang menyeluruh termasuk perubahan struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.

“Saya berharap Jemaah Menteri akan mengekalkan beberapa reformasi berani dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada dalam kerajaan,” tambah beliau.

Rafizi turut menyeru agar rakyat dan pihak berkepentingan terus komited dalam usaha membaiki struktur ekonomi negara demi manfaat jangka panjang generasi masa hadapan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button