Ekonomi

Rafizi: Kerjasama Malaysia-Indonesia di Blok ND6/ND7 Lindungi Kepentingan Sabah dan Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 – Cadangan pembangunan bersama antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Blok ND6/ND7 atau dikenali sebagai Ambalat disifatkan sebagai langkah strategik yang bukan sahaja memanfaatkan kekayaan sumber negara, tetapi juga menjaga kepentingan Sabah dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, kata belas menteri ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, usaha ini adalah penyelesaian pragmatik dan tidak menjejaskan kedaulatan negara, bahkan telah terbukti berkesan melalui model terdahulu seperti Malaysia–Thailand Joint Development Area (MTJDA) di luar pesisir Kelantan.

“Daripada membiarkan kawasan ini terbengkalai akibat tuntutan bertindih yang berlarutan sejak 1979, kerjasama Malaysia–Indonesia membolehkan kita mula membangunkan kawasan itu secara bersama tanpa menjejaskan tuntutan masing-masing,” katanya.

Rafizi menegaskan bahawa Blok ND6/ND7 dijangka mengandungi rizab besar – sehingga 1 bilion tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas – yang boleh memberi manfaat ekonomi langsung kepada Sabah, jika dibangunkan secara telus dan adil.

“Sabah mesti dilibatkan secara langsung. Sebahagian hasil wajar disalurkan kembali kepada rakyat Sabah kerana mereka berada di kawasan paling hampir dengan sumber ini,” tambah beliau.

Katanya lagi, pendekatan ‘joint development’ telah terbukti berjaya ketika beliau berada dalam Kabinet, dan model serupa telah memastikan Semenanjung Malaysia hari ini mendapat sehingga 30% bekalan gas daripada kawasan pembangunan bersama dengan Thailand.

Rafizi juga mengkritik tindakan sesetengah pihak politik yang membangkitkan isu ini sebagai kononnya ‘penggadaian kedaulatan negara’, tanpa memahami konteks undang-undang antarabangsa dan keperluan ekonomi semasa.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sabotaj peluang negara demi politik sempit. Jika kita gagal bertindak sekarang, kita akan terus kehilangan berbilion ringgit hasil yang sepatutnya milik rakyat,” tegasnya.

Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera mengadakan rundingan tiga hala antara Putrajaya, Jakarta dan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan struktur pelaksanaan pembangunan bersama ini mengambil kira kepentingan semua pihak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button