Politik

Rafizi dakwa Amanah desak terima katak-katak politik di Melaka

BEKAS Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa pemimpin parti Amanah mendesak Pakatan Harapan untuk menerima katak-katak politik di Melaka.

Menurut Rafizi, pemimpin Amanah mendakwa bekas pemimpin UMNO yang berpaling tadah, Datuk Seri Ir. Idris Haron dan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka boleh membawa lonjakan kepada PH di Melaka.

“Masalahnya mereka berkokok di dalam mesyuarat PH kerana dalam PH, parti besar mana pun bila menjadi anggota ada undi yang sama.

“Di luar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab diluar,” kata Rafizi dalam satu kenyataan di media sosial.

Katanya, sikap pemimpin Amanah tersebut mengulangi perbuatan mereka ketika menerima Bersatu sebagai komponen PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Menurut Rafizi, pada waktu itu Amanah dan DAP telah memberi kata dua kepada PKR untuk menerima Bersatu walaupun beliau dan beberapa pemimpin PKR tidak mahu menerima parti tersebut.

“Semasa rundingan permohonan Bersatu nak masuk PH dulu tahun 2016, saya dan sahabat-sahabat yang mewakili PKR dalam Majlis Presiden berkeras Bersatu hanya diterima sebagai sekutu pilihanraya (bukannya anggota PH) supaya keputusan PH tidak kacau bilau.

“Yang berkeras mahukan Bersatu sebagai anggota PH adalah pimpinan Amanah dan DAP, dengan alasan PKR tidak kuat dan berpecah.

“Perangai Azmin dijadikan alasan PH perlukan pimpinan baru dari BERSATU kerana kononnya kami tidak kuat untuk mendisiplinkan Azmin yang mahu bersama-sama PAS.

“Pada satu ketika, kata dua diberikan kalau PKR tetap berkeras, wajarlah PKR tidak lagi bersama PH kerana Amanah dan DAP sudah buat keputusan menerima Bersatu,” katanya,

Disebabkan itu demi mengekalkan PH, PKR terpaksa bersetuju dengan syarat ada perjanjian ketat.

Serentak itu, Rafizi mendesak supaya pemimpin Amanah terutama Presidennya, Mohamad Sabu supaya memberikan keyakinan kepada penyokong PH bagaimana ‘katak-katak’ politik tersebut boleh membantu kemenangan PH di Melaka.

“Sudah sampai masanya Presiden Amanah dan Pengerusi Amanah Melaka pula cuba meyakinkan pendokong PH di luar ini kot belah mana kemasukan katak-katak politik akan memberi lonjakan yang boleh memenangkan PH di Melaka.

“Ini hujah kuat berdegar-degar dalam mesyuarat PH tapi tidak cukup berdegar-degar di luar. Kalau saya, kena sekali cukuplah. Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya ”kurang cerdik”,” kata beliau. -SM

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button