Analisis

Pas kena berak kali kedua, oleh itik tempang yang sama

SELEPAS UMNO hampir lemas ibarat itik yang telah tempang dan patah sayapnya, Pas datang menghulurkan tangan bagi menyelamatkan parti itu.

Siri perhimpunan pada asalnya bagi membantah pelbagai dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang merugikan orang Islam dan Melayu telah menjadi jambatan kepada kerjasama kedua-dua buah parti utama orang Melayu itu.

Pas dan UMNO ketika itu sama-sama berada di luar kerajaan serta sangat berkesan menjadi pembangkang.

Maka terbentuklah Muafakat Nasional (MN) yang membuahkan kejayaan dalam beberapa pilihan raya kecil.

Sebenarnya Tan Sri Abdul Hadi Awang, memang sejak sekian lama menginginkan kedua-dua buah parti itu bekerjasama, kerana ia akan membuka ruang kepada perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.

Mungkin juga Hadi juga mahu menebus kesilapan beliau yang lampau kerana mengeluarkan Amanat Hadi yang telah menyebabkan perpecahan umat Islam paling buruk di negara ini.

Ketika saya bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia dalam satu wawancara ekslusif Hadi di ibu pejabat Pas beliau pernah memberi gambaran hasrat untuk menyatukan UMNO dan Pas, dengan menyatakan “Alangkah cantik jika dapat dibina jambatan ke sana,” katanya sambil melihat ke arah PWTC yang menjadi ibu pejabat UMNO.

Saya sendiri menjadi terkesima dan otak ligat menafsirkan kiasan yang diberikan ketika wawancara itu sudah sampai ke penghujung, hingga saya tidak meminta beliau mengulas lanjut.

Apabila saya mengimbas kembali, Hadi memang mengadakan beberapa pertemuan dengan mufti-mufti bagi membincangkan masalah perpecahan umat Islam di negara ini.

Dalam satu pertemuan di Perak, kebetulan saya tiba awal dan disangka wartawan Harakah saya dibenarkan masuk ke dalam bilik mesyuarat dan mendengar sendiri bagaimana Hadi sangat bimbang dengan perpecahan umat Islam.

Pada ketika itu semua orang sedar hasrat Hadi itu ditentang kuat oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat iaitu pemimpin Pas yang sangat dihormati.

Sikap dingin Nik Aziz terhadap UMNO bukan tidak berasas, ia berpunca Pas pernah menjalinkan hubungan sebelum ini, tetapi telah ditikam dari belakang.

Pas pernah masuk di dalam Barisan Nasional (BN), tetapi parti itu telah dipecat pada 13 Disember 1977.

Selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, situasi politik negara tidak menentu dan pada tahun 1972, Perdana Menteri Tun Razak Hussein mula menyuarakan cadangan bagi Kerajaan Perpaduan Perikatan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Perkara sama disuarakan presiden Pas, Asri Muda dalam Mesyuarat Agung Pas pada tahun yang sama.

Bagi tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin nasib yang menimpa Pas dan presidennya disifatkan ‘kena berak’ selepas mengubatkan ‘itik yang patah kaki’.

“Itulah Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Dulu pasal apa susah-susah ubatkan itik patah kaki? Bukankah sekarang dah kena berak?” kata Kadir, bekas penasihat media perdana menteri itu.

Kadir memberikan pandangan itu selepas Abdul Hadi menyifatkan nasib yang diterima oleh Pas adalah umpama ditinggalkan oleh itik yang patah kaki selepas ia diubati.

Abdul Hadi mengumpamakan UMNO seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

Lebih menyedihkan kali ini bukan sahaja Pas, Bersatu juga turut diberak oleh itik tempang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawa Pas dan UMNO masuk ke dalam kerajaan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad merunjukkan kerajaan PH yang hanya bertahan 22 bulan.

Hubungan UMNO dengan Pas dan Bersatu mulai renggang selepas pilihan raya negeri Sabah, kerana tuduhan Bersatu menikam UMNO dari belakang semasa berlangsungnya pilihan raya negeri berkenaan.

Walaupun beberapa pemimpin UMNO sendiri menafikan perkara itu, tetapi akar umbi parti itu percaya dengan apa yang dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

UMNO dikatakan berkorban dengan memberi kerusi tradisi kepada Bersatu dan di kerusi kuat UMNO, Bersatu meletakkan berbondong-bondong calon Bebas menyebabkan UMNO kalah.

Akhirnya dek kerana keputusan yang kurang memberangsangkan UMNO terpaksa beralah hanya jawatan timbalan ketua menteri, tidak sebagaimana persetujuan awal bahawa jawatan ketua menteri adalah milik UMNO.

Melihatkan kemenangan besar UMNO pada pilihan raya negeri Melaka tempoh hari, tidak mungkin UMNO akan kembali bersama dengan Pas jika parti itu tidak meninggalkan Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN).

Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini pemimpin UMNO paling kuat sekutunya dengan PN sudah mula tidak bersependapat dengan Hadi apabila menyanggah kenyataan pemimpin utama Pas itu bahawa pilihan raya negeri Johor adalah usaha kluster mahkamah untuk membebaskan diri mereka daripada kes-kes di mahkamah.

Menurut Annuar ia adalah demi kestabilan politik Johor dan bagi memastikan pembangunan di negeri berkenaan berjalan lancar.

Jadi jelaslah Muafakat Nasional sudah berkubur dan batu nisannya akan dipacak di Johor iaitu negeri yang menjadi kubu kuat serta negeri kelahiran UMNO.

(Visited 856 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button