Nasional

MDEC: Syed Saddiq harap Rais Hussin pegang teguh pada prinsip

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berpegang teguh pada prinsip seperti yang mereka bincangkan selepas dilantik sebagai  Pengerusi baharu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Bekas Menteri Belia dan Sukan yang mengucapkan tahniah kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu atas pelantiknya itu berharap semoga Allah memberkati perjuangan mereka.

“Digital Malaysia sangat diperlukan untuk kemajuan Belia Malaysia. Saya harap anda berpegang teguh pada prinsip anda, seperti yang telah kita bincangkan. Semoga Allah memberkati perjuangan kita,” ciap Syed Saddiq di Twitternya.

Ciapan itu kemudiannya dibalas oleh Rais Hussin yang mengucapkan terima kasih atas kata-kata semangat daripada Syed Saddiq. Beliau berjanji untuk berpegang teguh dengan prinsip seperti yang telah dibincangkan dengan Ketua Armada Bersatu yang tergugur keahliannya itu.

“4IR (Revolusi Industri Keempat) adalah minat saya. Kami memerlukan pendekatan yang holistik dan inklusif untuk memastikan 4IR memberi banyak faedah kepada ramai belia.

“Belia menjadi komponen kritikal 41R. Saya mempunyai beberapa perancangan yang serius terhadap 4IR. Semoga mendapat sokongan dan idea bijaksana daripada anda. Terima kasih,” kata Rais Hussin.

Pelantikan Rais Hussin sebagai Pengerusi MDEC diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah  dua hari lalu dan berkuat kuasa 15 Jun ini.

Rais Hussin menggantikan Datuk Mathialakan Chelliah yang telah memangku jawatan tersebut selama dua tahun.

Rais Hussin merupakan seorang usahawan dan berpengalaman luas dalam bidang perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi serta berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,

Beliau juga merupakan pengarang-bersama buku berjudul 4IR: AI, Blockchain, Fintech – Reinventing a Nation.

Revolusi Industri 4.0 atau 41R secara umumnya melibatkan Internet of Things (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian dan berbeza daripada revolusi industri pertama yang tertumpu kepada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua kepada elektrik, dan ketiga kepada penggunaan teknologi maklumat (IT).-SM

 

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button