Luar Negara

Tarian selatan Thailand ‘Nora’ dapat status warisan UNESCO

PENARI bergerak dengan anggun dalam bulatan, dengan pakaian cantik bermanik yang turut bergoyang-goyang mengikut rentak irama si penari ketika mereka membuat gaya seperti burung dalam satu drama tarian yang dikenali sebagai ‘nora’.

‘Nora’ adalah merupakan satu seni persembahan di selatan Thailand yang telah disenaraikan dalam senarai warisan berprestij UNESCO pada semalam.

‘Nora’ adalah satu bentuk seni dramatik yang menggabungkan tarian, nyanyian dan penceritaan di mana ia berakar umbi di India dan telah diamalkan di wilayah selatan Thailand di mana majoriti penduduknya adalah Muslim selama berabad-abad.

Persembahan biasanya merupakan penceritaan semula secara dramatik tentang kisah putera tempatan yang cuba menyelamatkan Manora iaitu seorang puteri separuh manusia, separuh burung, yang nama pendeknya menjadi nama seni tarian itu.

Persembahan gemilang ‘Nora’ boleh mengambil masa sehingga tiga hari.

Unesco pada semalam secara rasminya telah menyenaraikan ‘Nora’ sebagai ‘Intangible Cultural Heritage’ di Thailand yang merupakan satu langkah berpotensi membawa lebih banyak pengiktirafan global kepada tarian yang biasanya hanya dipersembahkan dalam perhimpunan kampung kecil di selatan Thailand.

Di daerah Su-ngai Padi wilayah Narathiwat yang tidak jauh dari sempadan Malaysia, penari-penari muda akan memakai pakaian mereka dengan berhati-hati dengan garisan manik yang dirangkai dalam paparan warna dan corak kaleidoskopik.

Bahagian belakang pakaian mereka pula melayang ke atas bagi meniru ekor burung.

Presiden kumpulan tarian wilayah itu, Vichien Rattanaboono berkata, ‘Nora’ penting kepada orang selatan kerana dua sebab iaitu ia adalah salah satu bentuk hiburan untuk menyampaikan mesej yang mengajar orang untuk berbuat baik bagi mendapatkan karma yang baik.

Sebab yang kedua pula ialah tarian ini adalah mengenai upacara dan kepercayaan di mana ‘Nora’ akan dipersembahkan semasa upacara untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru dan ibu bapa serta untuk menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka.

Lima penari akan berpusing-pusing dengan pergerakan jari eskpresif yang diserlahkan dengan hujung kuku perak mereka yang panjang di samping satu kumpulan kecil memainkan alat muzik gendang dan pi nai iaitu satu alat seperti oboe.

Sekatan Covid-19 sejak 20 bulan lalu menyebabkan hanya sedikit persembahan awam yang dapat dilakukan kerana perhimpunan besar dilarang.

Nitichaya Sooksan yang berusia 18 tahun merupakan salah seorang penari mengatakan persembahan pertama mereka sejak wabak bermula adalah pada Sabtu lalu.

“Selepas Covid-19 muncul, tiada persembahan yang dapat dilakukan menyebabkan kami tidak membuat pertunjukkan,” katanya.

Penghibur ‘Nora’ lama, Saman Dosormi, pelajar siswazah seni persembahan wilayah Yala berkata, tarian itu menunjukkan ‘budaya bersama’ wilayah selatan yang beragama Thai Buddha dan etnik Melayu Islam.

“Tidak kira sama ada kamu beragama Buddha, Islam atau Kristian, sesiapa sahaja boleh mempersembahkan tarian ini.

“Saya sangat gembira dengan penyenaraian daripada UNESCO ini dan saya ingin semua seni budaya Thai diiktiraf oleh dunia,” katanya kepada AFP. – SM

(Visited 639 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button