Nasional

PWP jalin kerjasama dengan media Thailand

PADANG BESAR,15 Jun (Bernama) — Persatuan Wartawan Perlis (PWP) melakar sejarah tersendiri apabila menandatangani nota persefahaman dengan Persatuan Media Selatan Thailand dalam usaha membina kerjasama membabitkan kedua-dua wakil media.

Presiden PWP Mohammad Asri Shafii berkata kerjasama dua hala itu adalah titik permulaan bagi mengeratkan lagi hubungan pengamal media dari kedua-dua negara dari segi pertukaran budaya dan kepakaran dalam bidang kewartawanan.

“PWP menjunjung kasih kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai kerana berkenan membuka peluang bagi membantu PWP menjalin hubungan dengan media Selatan Thailand,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani nota persefahaman PWP dan Persatuan Media Selatan Thailand semalam.


Perjanjian itu ditandatangani oleh Mohammad Asri dan wakil Persatuan Media Selatan Thailand Phiphob dengan majlis disaksikan oleh Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Terdahulu Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyertai Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 Peringkat Negeri Perlis itu turut disertai oleh ketua dan wakil agensi kerajaan di negeri ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata aktiviti yang dianjurkan dengan kerjasama PWP itu adalah bagi meraikan pengamal media di negeri ini disamping turut memberi sumbangan kepada asnaf yang memerlukan.

“MAIPs mendapat mandat daripada sebahagian penyumbang yang berhasrat agar kami dapat berkongsi rezeki bersama sahabat dari Selatan Thailand,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button