Nasional

Putrajaya, Tokyo tandatangani perjanjian untuk hantar rakyat Malaysia bekerja di Jepun

SATU jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk melaksanakan memorandum kerjasama (MoC) untuk menghantar pekerja mahir Malaysia untuk bekerja di Jepun, kata menteri sumber manusia M Saravanan.

MoC telah dimaterai antara Saravanan dan menteri kehakiman Jepun Yoshihisa Furukawa pada Khamis. Pertukaran dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Jepun, Fumio Kishida, semalam.

Saravanan dalam satu kenyataan hari ini berkata kementeriannya akan mengetuai jawatankuasa bersama untuk Malaysia.

“MoC akan bertindak sebagai platform terbaik untuk pekerja mahir Malaysia yang layak untuk bekerja dalam ekosistem berasaskan teknologi termaju di Jepun,” katanya.

Melalui pendedahan dan pengalaman yang diperoleh ini, beliau berkata pekerja Malaysia akan berpeluang menerokai pelbagai bidang teknologi yang menjadi nadi sektor perindustrian di Jepun.

“(Pekerja Malaysia) akan dapat membawa kembali kemahiran yang mereka pelajari serta budaya kerja Jepun ke Malaysia selepas kontrak pekerjaan mereka tamat di sana,” kata Saravanan.

Beliau berkata Jepun dikenal pasti sebagai negara yang menawarkan gaji tinggi kepada pekerja mahir.

“Justeru, pekerja mahir Malaysia yang menyertai program itu akan dapat menikmati pendapatan lebih tinggi dan meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi mereka.

“Malah, pengalaman bekerja di Jepun juga boleh meningkatkan kebolehpasaran pekerja,” katanya.

Menurut Saravanan, MoC juga akan menjadikan Malaysia sebagai negara sumber untuk membekalkan pekerja mahir ke negara maju.

 

 

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button