Nasional

Kerajaan perluas bantuan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar politeknik, Kolej Komuniti

KERAJAAN Madani memperluaskan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, ia turut diperluaskan kepada pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bermula hari ini.

Ia melibatkan laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Inisiatif berkenaan telah bermula 12 Julai lalu.

Selaras dengan itu, pelajar politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan IPG boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan.

Pelajar yang layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada salah satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia, Batik Air dan MYAirline yang dipilih oleh pelajar.

Sekiranya pelajar didapati tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi pendidikan masing-masing.

Setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.

Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Disember 2023 namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

Bantuan ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak serta Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button