Hiburan

Puteri Sarah, Syamsul tinggal berasingan untuk pulihkan kemelut

DEMI memulihkan kemelut yang melanda rumah tangga mereka, pasangan selebriti, Puteri Sarah Liyana dan pengarah sensasi Syamsul Yusof memilih untuk tinggal berasingan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Puteri Sarah, dia tidak sesekali membenci, jauh sekali perasaan cinta semakin pudar, namun ada sebab mereka berbuat demikian.

Dia yakin itulah cara terbaik untuk menyelesaikan segala pergolakan yang berlaku dalam perkahwinannya.

“Krisis rumah tangga kami sudah berlanjutan sejak sekian lama. Sehingga kini, saya dan Syamsul masih cuba mencari jalan penyelesaian. Kami perlukan masa dan mungkin dengan cara berjauhan dapat mengembalikan semula rasa cinta dan rindu.

“Sungguhpun berjauhan, kami masih berhubung dan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp. Syamsul juga bebas bertemu anak-anak, Syaikhul Islam, 3 dan Sumayyah, 1.

“Tidak dinafikan, ramai menasihatkan saya supaya jangan terlalu lama berjauhan dengan suami. Hakikatnya, kami sukar mencari kata sepakat dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika tinggal sebumbung. Setiap perbincangan pastinya berakhir dengan pergaduhan. Mungkin dengan cara ini, saya harap keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

“Sejujurnya, saya dan Syamsul serta keluarga mengharapkan perkara baik sebagai penamat konflik ini. Tak terfikir berakhir dengan perceraian. Insya-Allah dengan cara ini, kami boleh kenang kembali momen manis ketika bersama dan merasai pengalaman jika suami atau isteri tiada di sisi,” katanya seperti yang dipetik dari BH Online.

Katanya, mereka sedang menuju ke arah kebaikan, tak pernah wujud kebencian. Jika larut dengan kebencian, sudah lama perkahwinan mereka berakhir.

“Cuma, sekarang, kami sedikit bermain tarik tali.

“Tindakan kami bukan disebabkan keegoan, tetapi memberikan ruang untuk muhasabah diri. Saya tak pernah berdendam dengan suami, tetapi mahu memberikan sedikit pengajaran. Biarpun tiada sebarang kepastian bila krisis rumah tangga tamat, tetapi saya mengharapkan ia segera berakhir.

“Saya berterima kasih atas nasihat dan sangat terbuka dengan apa sahaja pandangan yang diberikan, tetapi penghujungnya, saya dan Syamsul yang akan menentukan jalan terbaik,” katanya.

(Visited 722 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button