Nasional

Mosti akan bentang kerangka penuh kod etika AI

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dijangka membentangkan kerangka penuh berkaitan kod etika kecerdasan buatan (AI) pada suku pertama tahun depan.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pembentangan tersebut menjurus kepada perincian berhubung garis panduan serta peraturan perlu dipatuhi pihak berkepentingan dalam semua sektor.

“Satu jawatankuasa khas telah dibentuk di bawah Mosti untuk mewujudkan kerangka penuh berkaitan teknologi AI ini dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemain industri.

“Perkara tersebut merupakan satu keperluan kerana buat masa ini tiada sebarang garis panduan atau peraturan yang diwujudkan bagi memastikan ia (AI) digunakan secara beretika oleh semua sektor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Perak 2023 di Dewan Merdeka di sini, malam tadi.

Pada 18 September lalu, Ketua Setiausaha Mosti Aminuddin Hassim menjelaskan, usaha membangunkan Kod Etika AI diterajui Mosti itu susulan beberapa isu ketara mengenai etika AI khususnya berkaitan privasi dan sekuriti selain kesannya kepada kehidupan manusia.

Beliau dalam kenyataan yang sama memaklumkan, inisiatif bagi mengawal selia teknologi baharu itu turut dirangka berdasarkan saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengenai Etika AI yang diperkenalkan, pada November 2021.

Sementara itu, Chang berkata, pihaknya turut memberi jaminan bahawa penggunaan AI secara meluas juga bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi berasaskan teknologi berkenaan.

Beliau berkata, perkara tersebut secara tidak langsung akan memberi nilai tambah khususnya peningkatan kemahiran atau latihan kemahiran semula pekerja.

“Di pihak Mosti sendiri kami tidak melihat teknologi AI ini akan mengambil alih tugas manusia daripada sudut pekerjaan sebaliknya pekerjaan yang akan datang bersama set kemahiran terkini melalui kapasiti latihan baharu,” katanya. – SM

BACA MOSTI lancar Sistem e-ticketing Pusat Sains Negara

(Visited 32 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button