Pencemaran

Hukum sebat ‘tauke’ buang racun dalam sungai

PERTUBUHAN Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia mencadangkan kepada kerajaan agar memperkenalkan hukuman sebat kepada pihak yang melakukan pencemaran air sungai.

Presiden Peka Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab terutama pemilik kilang berkenaan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibat.

Shariffa Sabrina

“Saya sarankan hukuman sebat dan penjarakan tauke-tauke kilang yang buang segala racun dalam sungai. Kerana perangai mereka yang tidak bertanggung jawab, semua susah.

“Yang penguatkuasa ni semua buat apa? Pakailah drone, nak seribu daya. Kelihatan air yang hitam mengalir ke Sungai Semenyih,” kata Shariffa Sabrina.

Semalam penduduk Lembah Kelang sekali lagi berhadapan dengan masalah bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak jam 4.30 petang selepas pencemaran dikesan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata siasatan awal mendapati pencemaran bau mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian di Nilai.

Ia adalah kejadian kali kedua berlaku di Selangor dalam tempoh sebulan selepas penduduk Lembah Kelang terputus bekalan air selama seminggu pada awal September lalu atas sebab yang sama iaitu pencemaran air sungai disebabkan oleh kilang haram.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata, Kerajaan Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan sebat dan lucut hak terhadap mana-mana pesalah yang terbabit dengan pencemaran sumber air di negeri ini.

Menurutnya, bidang kuasa kerajaan negeri hanya membolehkan pesalah dihukum menerusi Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 sahaja.

Enakmen LUAS akan dipinda pada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang Oktober hingga November depan dengan denda maksimum untuk kesalahan pencemar air akan dinaikkan kepada RM1 juta daripada RM500,000.

 

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button