BeritaPendidikan

Puteri Raja Muda Perlis tamat pengajian peringkat sarjana

SHARIFAH Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merupakan anakanda puteri kedua kepada Tuanku Raja Muda Perlis berjaya menamatkan pengajian dari tahun 2021 sehingga 2022 di peringkat Sarjana iaitu ‘Master of International Business’ di Monash University Malaysia.

Berangkat menghadiri majlis konvokesyen sarat dengan tradisi oleh salah sebuah daripada 50 universiti terbaik di dunia tersebut ialah Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut berangkat adalah anakanda puteri sulung Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Demikian menurut hebahan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Hadir menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Presiden merangkap Pro-Naib Canselor (Interim) universiti, Professor Matthew Gordon Nicholson; Ahli Majlis Universiti Geraldine Johns-Putra; dan Naib Presiden (Pendidikan), Professor Beverley Joyce Webster.

Istiadat Konvokesyen selama dua hari yang diadakan di Grand Ballroom Sunway Resort Hotel and Spa pada kali ini dipecahkan kepada tiga sidang iaitu melibatkan seramai 270 orang graduan Perniagaan dan Undang-Undang, 295 orang graduan Perubatan, Farmasi & Sains serta 296 orang graduan Sastera, Pendidikan, Kejuruteraan & Teknologi Maklumat. Skrol graduasi tamat belajar telah disampaikan oleh Timbalan Canselor, Peter Young AM KC.

Sharifah Farah Adriana baru sahaja menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke-22 pada 4 Mac baru-baru ini. Beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan juga Penaung Hermission House Extreme Sports Club (HHESC).

Dilahirkan di Hospital Zollikerberg, Zurich, Switzerland pada tahun 2001, Sharifah Farah Adriana yang baru sahaja memulakan kerjaya sebagai Ketua Komunikasi di sebuah syarikat penjualan alat-alat sukan dari luar negara pada 15 Mac baru-baru ini .

Juga pernah mengikuti beberapa kursus termasuk ‘Disaster Management Workshop’ oleh International Disaster Response Network (IDRN) Humanitarian International Services Group (HISG) dari Colorado Spring Amerika Syarikat; ’First Aid Courses In Every Government Department’ anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis; ‘Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang’ oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan MAIPs serta ‘Komunikasi Efektif Melalui Lakaran – Mempertingkatkan Prestasi Dan Produktiviti Organisasi’.

Beliau meminati pelbagai jenis sukan dan pernah mewakili sekolah dalam bola sepak, bola jaring, olah raga, bola baling dan bola tampar selain pernah menyertai Persatuan Karate Budokan. Selain daripada itu mengemari muzik, aktiviti-aktiviti riadah dan lasak, menonton filem, menyanyi dan berniaga ‘Keria Gula Melaka’ melalui food truck di Kangar. Beliau juga sudahpun mengunjungi kira-kira 30 buah negara sehingga ke hari ini.

Untuk rekod, Sharifah Farah Adriana baru sahaja menghadiri majlis konvokesyen ‘Testamur Presentation’ bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Bachelor of Business (Management) pada 1 Mac 2023 baru-baru ini daripada Royal Melbourne Insitute of Technology (RMIT) University di Kampus Melbourne, Australia. Beliau menuntut di RMIT University dari tahun 2018 sehingga menamatkan pelajaran pada 13 Julai 2021 namun ditangguh acara graduasi atas sebab kekangan wabak pandemik Covid-19 sebelum ini. – SM

(Visited 360 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button