Nasional

Pembiayaan MARA bantu tingkatkan perniagaan usahawan dalam tempoh singkat

MENCAPAI nilai jualan tahunan syarikat sebanyak RM5 juta dan pertambahan bilangan pekerja daripada 17 kepada 35 orang dalam tempoh tiga tahun. Itu pencapaian perniagaan SM PREMIX Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera di Langkawi yang menerima bimbingan dan kemudahan pembiayaan daripada Majlis Amanah Rakyat, MARA.

Pemiliknya, Mohd Hasbullah Salleh mula menjalankan perniagaan dalam bidang kejuruteraan jalan raya pada penghujung tahun 2019. Beliau yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah, berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan jalan raya.

Anak jati Kg. Sungai Menghulu, Langkawi itu merupakan satu-satunya pembekal tar pra campuran untuk pembinaan jalan raya di pulau itu. Kilangnya menawarkan perkhidmatan membekal tar pra campuran menggunakan teknologi dari Austria dengan kapasiti pengeluaran 120 tan metrik sejam.

SM Premix pernah mencatat rekod harian tertinggi dengan pengeluaran 700 tan metrik sehari. Atas pencapaian anak muda berusia 36 tahun itu, syarikat beliau menerima geran Business Enrichment, Standardization and Transformation (BEST), bernilai RM20 ribu bagi tujuan pensijilan ISO9001:2012, sumbangan MARA.

Sebelum itu, syarikat beliau turut menerima pembiayaan sebanyak RM500 ribu daripada MARA bagi tujuan tambahan modal pusingan di bawah Skim Pembiayaan Mudah Jaya.

Sebagai contoh usahawan bimbingan MARA yang berjaya, ia menarik perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang hadir merasmikan syarikat itu di sini semalam.

Turut hadir, Senator Datuk Othman Aziz yang juga Pengerusi MARA Corporation dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Dalam satu kenyataan kepada media Mahdzir berkata, manfaat pembiayaan oleh MARA telah menyuntik semangat usahawan Bumiputera untuk meningkatkan daya saing dalam perniagaan masing-masing.

“Syarikat SM PREMIX adalah contoh terbaik usahawan yang menerima manfaat melalui kemudahan pembiayaan perniagaan dan geran pensijilan MARA.

“MARA sentiasa memberikan bantuan melalui latihan, kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat kepada usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan disamping meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mereka.”

Sempena majlis perasmian syarikat itu juga, pemiliknya menzahirkan penghargaan dengan menyampaikan sumbangan pakej umrah kepada 10 kakitangannya yang disampaikan oleh Datuk Seri Mahdzir.

Menurut Mohd Hasbullah, beliau menzahirkan kesyukuran atas kejayaan syarikatnya dengan memberi penghargaan kepada kakitangannya menunaikan umrah.

“Saya amat menghargai bantuan yang diterima daripada pihak MARA yang telah menjadi pemangkin kepada perkembangan syarikat saya. Sebagai usahawan bimbingan MARA, saya menongkah arus dalam dunia perniagaan yang amat jarang diterokai oleh Bumiputera,” kata Mohd Hasbullah. – SM

(Visited 835 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button