Nasional

Johari ketengah misi satukan pekebun kecil

MENTERI Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan, kementerian berkenaan membayangkan untuk melaksana model perniagaan yang boleh menyatukan pekebun kecil bebas bagi meningkatkan hasil minyak sawit.

Johari berkata, model perniagaan itu menyasarkan untuk menyatukan 214,680 pekebun kecil bebas dengan keluasan tanah 822,073 hektar kepada kluster seluas 8,000 hingga 10,000 hektar ladang kelapa sawit dan akan diuruskan seperti ladang sederhana atau besar.

Johari berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pameran dan Persidangan Tahunan Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC2024) Ke-35, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pihak kementerian boleh menyatukan walaupun 30% daripada pekebun kecil bebas maka akan mempunyai tambahan 250,000 hektar tanah untuk diuruskan dengan cekap.

“Saya tahu ia tidak akan mudah untuk melakukan ini, tetapi kita perlu memulakannya. Kita sedang mencari (pendekatan) bagaimana syarikat-syarikat besar boleh membantu menyatukannya,” ujarnya.

Katanya lagi, daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit, 27% (1.5 juta hektar) diuruskan secara kecil-kecilan melalui pekebun kecil, dan secara purata pekebun kecil ini menguruskan sebidang tanah seluas sekitar empat hektar.

“Memang ramai sebenarnya pekebun kecil menghadapi kesukaran untuk meningkatkan hasil mereka,” katanya.

Tambah beliau, cara yang lebih pragmatik untuk memastikan penanaman semula oleh pekebun kecil untuk hasil maksimum adalah dengan memanfaatkan kepakaran teknikal daripada pemain-pemain industri utama dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Ini termasuklah mendapatkan benih, klon, baja, serta menguruskan serangga perosak dan penyakit pokok kelapa sawit, katanya.

Beliau berkata, kadar penanaman semula di antara 2014 dan 2023 kekal rendah pada 1.8% setahun.

Berdasarkan amalan terbaik industri, empat hingga lima peratus pokok kelapa sawit perlu ditanam semula setiap tahun; jika tidak, menjelang 2027 lebih 560,000 hektar pokok kelapa sawit akan berusia lebih 25 tahun dan ini akan menyebabkan pengeluaran yang lebih rendah pada masa hadapan, kata menteri itu.

“Bagi mencapai skala yang lebih besar, adalah penting untuk mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti. Jika semua pekebun kecil boleh mengamalkan amalan pengurusan yang baik bagi ladang berskala besar, hasil tandan buah segar boleh meningkat dengan mudah sebanyak dua tan sehektar.

“Ini seterusnya akan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia dengan tambahan 600,000 tan setahun, yang bernilai sekitar RM2.4 bilion pada harga pasaran semasa, tanpa sebarang perubahan guna tanah tambahan,” katanya. – SM

(Visited 16 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button