Luar Negara

Putera Mahkota Saudi dilantik sebagai perdana menteri

JEDDAH: Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam mengeluarkan Dekri Diraja bagi melantik Putera Mahkota Mohammed Salman sebagai Perdana Menteri Arab Saudi.
Bagaimanapun menurut satu Dekri Diraja, mesyuarat mingguan Kabinet yang dihadiri Raja Salman, akan dipengerusikan oleh baginda, menurut laporan Saudi Gazette.
Pelantikan Putera Mahkota itu dilaksanakan dengan membuat pengecualian terhadap peruntukan Perkara 56 Undang-Undang Asas Pentadbiran Arab Saudi dan peruntukan berkaitan dalam Undang-Undang Majlis Menteri.

Dalam satu lagi Dekri Diraja, Raja Salman merombak Majlis Menteri dengan diketuai oleh Putera Mahkota.

Baginda turut mengeluarkan dekri bagi melantik Timbalan Menteri Pertahanan, Putera Khalid Salman, sebagai Menteri Pertahanan.

Selain itu, Yousef Abdullah Al-Benyan dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu, manakala Talal Abdullah Al-Otaibi dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertahanan.

Senarai menteri yang mengekalkan portfolio masing-masing selepas rombakan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Putera Mansour Miteb; Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz Salman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Putera Turki Muhammad Fahd; Menteri Sukan, Putera Abdulaziz Turki Faisal; Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz Saud Naif; dan Menteri Pengawal Nasional, Putera Abdullah Bandar.

Dalam pada itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas pelantikan baginda sebagai Perdana Menteri Arab Saudi.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Mulia Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Arab Saudi.

“Malaysia akan terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala di bawah pimpinan YAM khususnya dalam meneroka bidang kerjasama baharu dengan Arab Saudi,” kata Perdana Menteri menerusi Twitter hari ini.

Media hari ini melaporkan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud pada Selasa melantik Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai Perdana Menteri baharu.

 

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button