Nasional

Pusat zakat, majlis agama negeri perlu main peranan bantu ketika krisis

PUSAT zakat dan majlis agama semua negeri perlu menyatakan komitmen membantu golongan M40 dan T20 yang terkesan dengan kemeruduman ekonomi.

Golongan tersebut perlu diberi perhatian oleh pusat zakat dan majlis agama kerana mereka merupakan paling terkesan namun tidak mendapat bantuan sewajarnya.

Malah, ketika di luar krisis, golongan M40 dan T20 merupakan penyumbang terbesar dalam mengumpul dana menyumbang kepada tabung zakat.

Justeru, pusat zakat dan majlis agama digesa memikirkan mekanisme untuk membantu mereka menjana pendapatan bagi mengurangkan kesan akibat terjejas.

“Apabila golongan ini tidak dibantu dengan sepatutnya maka usaha-usaha untuk menjana pendapatan seperti sedia kala terbantut.

“Golongan yang menjadi penyumbang tetap kepada sumber zakat perniagaan dan pendapatan setiap Negeri ini hilang punca pendapatan.

“Kita mungkin terlepas pandang dalam melihat dan memperhalusi isu ini atas andaian bahawa ia masih mampu untuk terus kekal berkembang seperti biasa.

“Walhal, golongan ini juga sama terkesan dengan Covid-19 mengalami susutan pendapatan dengan teruknya.

“Banyak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja dan mengambil langkah jangka panjang dalam mengatur kewangan syarikat.

“Hasilnya ramai golongan M40 hilang pekerjaan dan berikutannya banyak pula kedai-kedai jual makanan muncul seperti cendawan di bandar-bandar.”

Demikian saranan bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian menyatakan pusat zakat boleh memperluaskan peranan mereka bukan sahaja tertumpu kepada golongan tertentu.

Sebaliknya, terus membantu segenap lapisan masyarakat yang terjejas ketika ini supaya kitaran ekonomi dan zakat itu sendiri dapat kembali seperti sedia kala.

Katanya lagi, pusat zakat dan tabung masjid-masjid di bandar-bandar utama perlu memainkan peranan secara proaktif dan bersepadu dalam membantu golongan M40 menjana semula pendapatan.

“Pusat zakat sebenarnya bukanlah hanya berperanan sebagai tempat mengumpul wang semata-mata, sebaliknya merekalah yang selayaknya membantu semula masyarakat dalam keadaan ekonomi Negara yang semakin meruncing.

“Kaedah menjaga kemaslahatan masyarakat perlulah dipertingkatkan oleh pusat zakat dalam menangani isu ini dan tidak semata-mata dilihat dari sudut jumlah besar kutipan yang diperolehi.

“Oleh itu, satu langkah proaktif dan lebih progresif pihak pusat zakat amatlah diharapkan dalam menangani isu ini secara bijaksana dan praktikal,” jelasnya.

Dalam pada itu Mohd. Yusof menambah, sekiranya pusat zakat dapat memainkan peranan sedemikian, beberapa isu seperti masalah sosial, tekanan mental dan sebagainya diyakini beliau dapat ditangani secara tidak langsung.

“Semakin hari semakin ramai yang hilang pekerjaan dan pendapatan. Hasilnya tekanan kehidupan mula menyusup masuk dalam kehidupan masing-masing.

“Akibatnya kes-kes gangguan dan penderaan dalam keluarga mula merebak dan kes-kes perceraian semakin bertambah setiap hari.

“Dilaporkan pendaftaran kes-kes perceraian di Wilayah Persekutuan menjangkau 30 kes sehari. Kes-kes bunuh diri juga mula berlaku dan semakin menjadi setiap hari.

“Kesemua ini berpunca daripada masalah kewangan dan kesempitan hidup. Sejak penguatkuasaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) terdapat lebih daripada 266 kes bunuh diri berlaku,” luahnya. – SM

(Visited 342 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button