Politik

Jawatankuasa disiplin PKR siasat dakwaan Zuraida hina pemimpin tertinggi parti

BALIK PULAU, 9 Jan — Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan bahawa aduan terhadap Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin tertinggi parti telah dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata Jawatankuasa Disiplin PKR yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Kasim sudah menerima aduan tersebut dan kini sedang meneliti kes itu.

“PKR akan serah sepenuhnya di bawah mandat Jawatankuasa Disiplin untuk membuat keputusan akhir…sebarang keputusan akan ditentukan kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasaraya TF Value-Mart yang pertama di Pulau Pinang, di sini.

Pada Disember lalu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin tertinggi parti ketika berucap pada majlis makan malam ´Wawasan Kemakmuran Bersama´ di Kuala Lumpur.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata buat masa ini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkembangan proses siasatan kes itu sama ada proses pendengaran telah selesai atau sebaliknya.

Bagaimanapun, menurutnya keputusan siasatan itu bergantung kepada fakta kes sebelum sebarang keputusan boleh diputuskan.

“Tindakan disiplin yang boleh diambil sekiranya terbukti bersalah sama ada amaran, gantung atau pecat daripada parti,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button