Nasional

Pusat hiburan beroperasi secara haram, buat tempahan awal baru boleh masuk

PELANGGAN perlu membuat tempahan kehadiran, perlu hadir sebelum pukul 9 malam dan tidak dibenarkan keluar sehingga lewat pagi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Itu taktik yang digunakan sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Namun, taktik yang digunakan pusat hiburan yang sudah beroperasi selama seminggu itu bagaimanapun berjaya dihidup polis yang membuat serbuan kira-kira pukul 11.10 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya telah menahan 41 orang individu di dalam pusat hiburan tersebut.

“Menerusi serbuan itu, kita menahan 20 individu iaitu empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 42 tahun serta tujuh lelaki dan lapan wanita warga asing berusia antara 21 hingga 48 tahun atas pelbagai kesalahan

“Sementara itu, 21 pengunjung semuanya lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 48 tahun dikompaun RM1,000 kerana ingkar PKP sebelum dibebaskan,” katanya.

Menurut Nik Ezanee, enam individu iaitu seorang lelaki warga tempatan, dua lelaki dan empat wanita warga asing didapati positif dadah jenis metamphetamine.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63. -SM

(Visited 460 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button