
Pulut Kuning & Doa Syukur Iringi Penutup Ibadah Haji Jemaah 1446H
MEKAH, 21 Jun 2025 – Suasana penuh syukur dan ukhuwah menyelubungi Majlis Doa Selamat sempena kejayaan menyempurnakan ibadah Haji Rukun Islam Kelima oleh kira-kira 200 jemaah Haji PJH tajaan Syarikat CS Holidays, yang berlangsung di Mekah pada petang semalam.
Majlis bermula sekitar jam 5.00 petang waktu Mekah dan disusuli dengan solat Maghrib berjemaah, doa selamat, serta jamuan makan malam yang diserikan dengan acara memotong pulut kuning, sebagai simbol kesyukuran atas kejayaan para jemaah menyelesaikan salah satu ibadah terbesar dalam Islam.
Program tersebut dianjurkan khusus sebagai tanda penghargaan syarikat kepada para jemaah dan petugas Haji 1446H, selain bertujuan mempererat silaturrahim dalam kalangan jemaah dan para pengiring yang telah bersama-sama mengharungi perjalanan spiritual yang mencabar dan penuh makna ini.
Menurut Tuan Haji Mohd Yusri Yusop, 43, salah seorang jemaah yang ditemui, beliau menzahirkan rasa syukur kerana menjadi antara rakyat Malaysia yang terpilih menunaikan fardu Haji pada tahun ini.
“Saya berasa amat bertuah kerana dalam jutaan rakyat Malaysia, saya dipilih oleh Allah SWT untuk hadir ke tanah suci dan menyempurnakan rukun Islam kelima. Mudah-mudahan Haji saya tahun ini diterima dan mendapat status Haji Mabrur,” katanya penuh harapan.
Difahamkan, para jemaah Haji CS Holidays akan mula meninggalkan Mekah secara berperingkat bermula minggu hadapan, menandakan berakhirnya satu fasa ibadah yang menyatukan umat Islam dari seluruh dunia di Tanah Suci.