Mahkamah

Sembilan pengedar dadah antara 73 individu dicekup polis

MELAKA 24 Januari – Sembilan pengedar dadah adalah antara 73 individu termasuk seorang wanita berjaya dicekup polis dalam serbuan yang dilakukan di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah dalam operasi yang dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat hingga semalam (Ahad).

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Melaka, Superitendan Zulkiflee Rashid berkata, hasil serbuan tersebut, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 953.03 gram, syabu (73.30 gram) dan ganja (13.60 gram).

Menurutnya, nilai anggaran rampasan adalah sebanyak RM41,366.

Beliau berkata, sembilan pengedar dadah yang ditahan pula dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dengan nilai sitaan sebanyak RM161,500.

Jelasnya, dalam serbuan di Port Krubong seramai 37 individu membabitkan 36 lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 23 hingga 64 tahun berjaya dicekup.

Menurutnya, lima daripada mereka ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, empat pula melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 28 pula mengikut Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.

“Dadah yang berjaya dirampas ialah jenis heroin sebanyak 36.63 gram dan syabu pula seberat 0.40 gram. Seramai enam pengedar dadah berjaya ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan,” ujarnya di sini hari ini.

Dalam serbuan di Pot Apache, Alor Gajah pula kata Zulkiflee, seramai 36 individiu yang kesemuanya lelaki berusia antara 24 hingga 64 tahun berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan kes dadah.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut 32 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a), tiga pengedar dadah mengikut Seksyen 3(1) ADB (LLPK) 1985 dan seorang lagi mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dadah yang dirampas adalah jenis heroin seberat 916.40 gram, syabu (72.90 gram) dan ganja (13.60 gram) dan anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM40,044.

Ujarnya, ujian saringan air kencing terhadap ke semua individu didapati positif dadah.

(Visited 444 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button