fbpx
Nasional

Pulau Pinang buka premis perniagaan hari ini

ORANG ramai mulai membanjiri beberapa kawasan bandar di Pulau Pinang, terutama di kawasan pusat membeli belah, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dilaksanakan hari ini, yang menyaksikan banyak premis perniagaan dan perkhidmatan dibuka semula.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan seperti bandar Butterworth, Bukit Mertajam dan George Town, ada tempat-tempat tertentu menyaksikan pelanggan beratur panjang sehingga di luar premis seperti di pejabat pos, bank serta kedai membaiki kenderaan.

Seorang pengunjung pejabat pos di Komtar, Mohamed Idrus Karim, 52, berkata beliau datang ke situ pada pukul 8.00 pagi kerana mahu memperbaharui lesen memandu serta membayar beberapa bil tertunggak, dan mendapati orang telah ramai sudahpun beratur panjang.

Beliau berkata lesen memandunya telah tamat tempot sejak bulan lepas namun berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac, beliau tidak dapat memperbaharuinya lagi dan memilih untuk berbuat demikian hari ini.

“Saya datang ke sini kira-kira pukul 8.00 pagi lagi dan sebaik sampai, sudah ada beberapa individu yang sedang beratur dengan mengamalkan jarakan sosial dan memakai penutup mulut serta hidung…bila berbual dengan mereka sebelum masuk ke pejabat pos, kebanyakan mereka mahu memperbaharui lesen memandu dan cukai kenderaan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.


Seorang pengunjung yang ditemui di Komtar, Suhaila Abdullah, 35, berkata pelaksanaan PKPB di Pulau Pinang hari ini sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan meninjau jualan pakaian serta kuih raya di situ.

Katanya sejak pelaksanaan PKP, beliau memang tidak keluar rumah dan hari ini mengambil peluang untuk membuat persiapan walaupun Ramadan serta Aidilfitri tahun ini pastinya tidak semeriah sebelumnya.

“Saya cuma hendak beli baju raya untuk tiga anak saya dan sedikit kuih raya sebagai persiapan sambutan di rumah kerana kami pasti tidak dapat balik ke kampung di Perak untuk Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Seorang peniaga, Nur Hazani Mohd Noor Halim, 48, berkata kedai menjual pakaian miliknya memulakan operasi seawal pukul 10 pagi selepas lebih sebulan tidak beroperasi berikutan pelaksanaan PKP.

“Alhamdulillah, pelaksanaan PKPB di Pulau Pinang sedikit sebanyak membantu kami yang sebelum ini menanggung kerugian kerana tidak beroperasi. Terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kami berniaga semula dan peniaga perlu bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Wahab ketika dihubungi Bernama berkata tinjauan polis di seluruh negeri hari ini berikutan pelaksanaan PKPB mendapati semuanya berjalan lancar dan dalam keadaan baik walaupun ada peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya berikutan orang ramai telah mula bekerja.

Menurut beliau pihaknya juga akan membuat pemantauan pematuhan PKPB dengan SOP yang lebih ketat seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan orang ramai terutama pengunjung pusat membeli belah mematuhi arahan dan mengelakkan orang ramai berkumpul serta menjarakkan diri ketika melakukan aktiviti harian.

“Salah satu skop penugasan yang kita rancang ialah menempatkan anggota polis di dalam pusat membeli belah terutamanya yang mempunyai banyak cawangan perniagaan supaya dapat memantau serta pastikan pengunjung mematuhi SOP terutamanya dalam jarakan sosial. Itu kita akan pastikan, kita akan berikan nasihat, teguran dan amaran sekiranya ada individu atau kumpulan melanggar arahan KKM,” katanya.

Menurutnya polis juga telah menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan tumpuan orang ramai di negeri itu terutama di pusat membeli belah, lokasi pelancongan dan bank-bank bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah di tetapkan oleh kerajaan.

Katanya ketika ini terdapat 11 sekatan jalan raya di seluruh negeri itu dan ia lebih fokus di kawasan sempadan negeri bagi memastikan orang ramai tidak membuat perjalanan rentas negeri tanpa sebab.- BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button