Politik

Reezal Merican tebus kekecewaan di Bertam

KEPALA BATAS: Hasrat bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menebus kekecewaan selepas gagal mempertahankan kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akhirnya tercapai.

Ia berikutan kejayaan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu ‘menumbangkan’ calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.

Reezal Merican yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,321 undi selepas memperoleh 10,453 undi berbanding lawannya yang mendapat 8,132 undi dalam pertembungan satu lawan satu itu.

Keputusan undian itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri bagi ketiga-tiga DUN iaitu Bertam, Penaga dan Pinang Tunggal.

Ketika ditemui pemberita, Reezal Merican yang juga bekas menteri Kabinet berkata, beliau lega kerana berjaya menebus kembali kekalahan pada PRU lalu.

“Saya bukan sahaja akan mewakili penduduk di Bertam, malah di dua lagi DUN di Kepala Batas iaitu Penaga dan Pinang Tunggal (kedua-duanya dimenangi oleh PN) atas dasar semangat dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya selepas pengumuman rasmi di Dewan Millenium Utusan Malaysia di sini, malam ini.

Pada PRU-15 lalu, Reezal Merican gagal mempertahankan kerusi disandangnya selama dua penggal itu apabila tewas kepada calon PN, Dr. Siti Mastura Muhammad yang memenangi Parlimen Kepala Batas dengan majoriti undi sebanyak 2,867.

Sementara itu, kerusi DUN Pinang Tunggal yang sebelum ini disandang oleh bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman daripada PKR menerima ‘kejutan’ apabila calon PH, Zainuddin Mohamed tewas dengan majoriti yang agak tinggi iaitu sebanyak 6,928 undi.

Zainuddin sekadar memperoleh 10,132 undi berbanding lawannya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas iaitu Bukhori Ghazali dengan 17,060 undi.

Satu lagi kerusi di Kepala Batas iaitu DUN Penaga kekal milik Pas apabila calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi berkenaan, Mohd. Yusni Mat Piah dengan majoriti 5,537.

Mohd. Yusni memperoleh 13,223 undi manakala lawannya, Mohd. Naim Salleh pula mendapat 7,686 undi.

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button